August 25, 2016

PERANG PERAK 1875: JWW BIRCH, PANGLIMA KINTA NGAH JABAR DAN KAMPUNG KEPAYANG

Pada 20 Julai 1875, Residen British di Perak, JWW Birch telah memaksa Sultan Abdullah menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut. Akhirnya JWW Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambilalihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah. Inilah yang mencetuskan pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan orang Melayu Perak termasuk pembesar jajahan Larut, Menteri Ngah Ibrahim, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar, Laksamana Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Makmor.


Akibat pembunuhan ini, British menyerang Perak dan tercetusnya ‘Perang Perak’ bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, British membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak. Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Maharaja Lela Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom. Tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang bersama Maharaja Lela Pandak Lam dan pengikut-pengikutnya.
Menurut sumber lisan, Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera British dan Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar dan diketuai oleh Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera British dan Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. Sultan Ismail telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.
Pada 3 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul JWW Birch dengan pedang tetapi Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh JWW Birch. Menurut Cik Gondah, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham. Pada 14 hingga 22 Disember 1876, Maharaja Lela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Panglima Kinta Toh Ngah Abdul Jaafar, Kulup Ali dan Si Tuah hukumannya dipenjarakan di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad dan Syahbandar Uda Mahamor dibuang ke Pulau Sychelles sementara Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. 

Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah enam tahun dipenjara di Singapura. Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk bagi mengelakkan dikesan oleh British. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan bersebelahan Masjid (Warisan) Kampung Kepayang. Kesan penglibatan beliau dalam pembunuhan JWW Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan (Kampung Kepayang) Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan (Kampung Paloh) Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan (Kampung Kepayang) Panglima Kinta Pasak Kepayang.
Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan (Kampung Paloh) Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Narawangsa dimansuhkan dalam struktur monarki Kesultanan Negeri Perak. Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar dan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi dalam pembunuhan JWW Birch, memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang. British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta dan dipercayai dibuka pada tahun 1520an oleh Tun Kelalang bin Tun Saban, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

Sumber rujukan utama:

"Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja", susunan Fazil Suhaimi Talib
"Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson
"Dokumentari Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Ngah Abdul Jaafar", arahan Faizal Zainol
"Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang", terbitan ContinuallyBebas
"Cempaka Sari - Sejarah Kesultanan Negeri Perak", tulisan Kolonel Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Basri.

August 21, 2012

PROJEK KEPAYANG

Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh merupakan satu-satunya Kampung Melayu Tradisional yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Ia merupakan satu perkampungan yang memiliki sejarah yang tersendiri dan sewajarnya dikekalkan sebagai satu warisan untuk generasi yang akan datang. Status tanah rizab Melayu yang dimilikinya dan juga kedudukannya yang terletak di kawasan yang amat strategik iaitu ditengah-tengah Bandar Raya Ipoh secara tidak langsung dapat memperlihatkan kelebihan dan keistimewaannya berbanding dengan kampung-kampung lain yang terdapat di Negeri Perak.

Walau bagaimanapun kelebihan dan keistimewaan yang terdapat dalam Kampung Kepayang tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sebaliknya ia dimanipulasikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang akhirnya mengakibatkan semakin hari semakin terhakis keluasan tanah Kampung Kepayang. Semakin hari Kampung Kepayang dirobek dan dihakis oleh golongan kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan tanpa memikirkan nilai warisan bangsa yang seharusnya dikekalkan.

Bukan sekadar tanahnya dihakis, malah sejarah Kampung Kepayang juga dicaca-merbakan sehingga menyebabkan anak-anak muda generasi baru terpinga-pinga dan tertanya-tanya sejarah dan asal-usulnya. Ada yang keliru dan ada juga yang langsung tidak tahu. Malah ada juga yang tidak bersedia untuk tahu dan tidak mahu tahu. Mungkinkah ini semua ini telah diatur oleh golongan tertentu agar ia menjadi sebegitu? Atau mungkin nilai-nilai keistimewaan Kampung Kepayang yang telah dirobek dan dihakis menyebabkan anak-anak muda tidak lagi berminat untuk tahu lantaran merasakan ia tidak bernilai dan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka?

Artikel ini pernah dipaparkan dalam FB Kepayang dan Continuallybebas

September 20, 2011

SIMBOLIK GENETIK POLITIK : MELAYU


Melayu.. Melayu.. Melayu
Sebut saja perkataan aku bangsa “Melayu”, tidak dapat tidak, persepsi masyarakat Malaysia tentang “racist” pasti akan terbayang! Salahkah aku menyebut aku bangsa “Melayu”? Salahkah aku mengaku jadi bangsa “Melayu”? atau aku perlu menyebut aku “Islam” tanpa menyebut bangsa “Melayu”, agar dapat lari diri dari imej “racist” tapi memperlihatkan imej keberagamaan? atau aku perlu mengaku aku bangsa “1Malaysia” untuk dilihat tidak “racist” dimata semua? atau perlukah aku mengaku aku bangsa “Malaysian Malaysia” untuk dilihat berjiwa Malaysia?

Melayu.. Melayu… Melayu...
Dulu hanya terdapat dua genetic utama “Melayu”, iaitu Melayu PAS dan Melayu UMNO yang saling bertelagah antara satu sama yang lain sejak dari awal Persekutuan Tanah Melayu sehinggalah Malaysia ke hari ini. Melayu PAS dipersepsikan sebagai genetic yang mengutamakan Islam dalam perjuangan, manakala Melayu UMNO dipersepsikan sebagai genetic yang memperjuangkan “Melayu” sehingga dilihat tidak mengutamakan Islam dalam perjuangan. Pertelagahan berzaman diantara kedua-dua genetic “Melayu” ini dilihat banyak merugikan “Melayu”.

Melayu.. Melayu.. Melayu..
Mungkin segelintir daripada mereka merasakan bahawa genetic “Melayu” sememangnya tidak bagus. atau mungkin ada diantaranya terlalu yakin dengan pendoktrinan penjajah yang menyatakan fitrah genetic “Melayu” sememangnya lemah. Barangkali inilah punca terwujudnya genetic-genetic “Melayu” sesat yang cuba menongkah arus untuk berubah secara genetic. Mereka berusaha membentuk genetic baru melalui kombinasi genetic-genetic asing “dengan harapan” hasilnya mampu membentuk genetic yang bersifat proaktif, progresif dan profesional.

Melayu.. Melayu.. Melayu..
Tidak lain dan tidak bukan, genetic-genetic “Melayu” sesat ini terpaksa berpadu dengan genetic-genetic asing yang kuat untuk membentuk genetic-genetic baru, agar menjadi hebat, dilihat hebat dan kelihatan hebat. Sekomuniti genetic “Melayu” sesat menyusup masuk ke dalam genetic-genetic “XYX” membentuk genetic Melayu DAP, dan sekomuniti lagi genetic “Melayu” sesat menarik genetic-genetic “XYX” masuk dalam geneticnya untuk membentuk Melayu PKR. Maka, akhirnya kini terwujudnya dua genetic baru “Melayu”, iaitu Melayu DAP dan Melayu PKR.

Melayu.. Melayu.. Melayu..
Kenapa boleh terwujudnya genetic-genetic baru “Melayu”? Adakah kerana genetic-genetic ini merasakan bahawa genetic sedia ada telah gagal merobah corak pemikiran budaya “Melayu”? Atau mungkin pendekatan kedua-dua genetic sedia ada masih lagi mengekalkan budaya yang tidak memenuhi tuntutan zaman? Aku disini hanya sekadar meninggalkan persoalan! Mampukah genetic-genetic baru menjadi genetic-genetic yang lebih hebat dari genetic-genetic sedia ada? Atau kewujudan genetic-genetic baru hanya untuk membarahkan lagi keadaan sedia ada?

February 7, 2009

SURAU : SATU PENJENAMAAN SEMULA

Apabila berbicara tentang kejuruteraan pasti kita tak bisa memisahkan antaranya dengan penyelidikan dan pembangunan. Hasil penyelidikan dan pembangunan akan terhasillah konsep rekabentuk terbaru. Lantas apabila konsep ini direlasikan dengan realiti surau pada masakini, maka wujudnya satu keperluan untuk menjenamasemulakan surau berpaksikan konsep penyelidikan dan pembangunan agar memenuhi kehendak mahasiswa yang lazimnya menginginkan kelainan dalam penterjemahan aktiviti-aktiviti surau tanpa membatasi prinsip-prinsip Islam.

Imej surau seringkali dikaitkan melibatkan aktiviti spiritual semata-mata haruslah dinafikan dengan penjenamaansemula ini, sesuai dengan peredaran dan kehendak semasa. Selaras dengan itu, pengurusan surau dengan penuh rasa insaf telah merangka lima asas penjenamaansemula surau bagi memastikan mesej penjenamaansemula ini dapat diterjemahkan dalam lisan dan tindakan dengan lebih jelas. Antara lima asas tersebut ialah penstrukturan semula organisasi dengan mewujudkan jawatan-jawatan yang lebih spesifik, mewujudkan pelan strategik surau untuk dijadikan agenda utama organisasi, menampilkan muka-muka baru dalam organisasi yang mewakili pelbagai latarbelakang, membahagikan tanggungjawab berdasarkan kesesuaian dan kepakaran individu agar bisa menterjemahkan hasil kerja terbaik dan memperkenalkan disamping memperkasakan semula aktiviti-aktiviti surau secara lebih sistematik.

Aktiviti kemahasiswaan sewajarnya menjadikan surau sebagai pusat sehentinya. Sebagai contoh diskusi akademik, diskusi ilmiah, aktiviti keusahawanan, permainan yang bersesuaian, kempen-kempen dan sebagainya boleh memanfaatkan surau selagi tidak bercanggah dengan syarak. Insya Allah berdasarkan lima asas tersebut pengurusan surau menyeru seluruh mahasiswa atau mahupun bukan mahasiswa dapat membantu dan bersama-sama pengurusan surau dalam menjayakan misi dan visi ini dengan secara bersama menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memusatkan surau sebagai pusat sehenti utama.

Pendekatan mesra mahasiswa juga akan cuba diterapkan dengan menonjolkan imej surau untuk semua selaras dengan tema surau. Pengurusan akan terus menerima teguran, kritikan dan pandangan daripada semua pihak disamping mengalu-alukan kerjasama dan bantuan idea, tenaga juga kewangan dalam menterjemahkan segala gagasan suci ini semata-mata kerana Allah.

Segala abstraksi dan teori ini hanya akan terus kekal sebagai konsep semata-mata tanpa pasukan perlaksanaan yang mantap disamping tanpa mendapat dokongan dan sokongan daripada mahasiswa-mahasiswa, individu-individu dan organisasi-organisasi berkaitan dan juga pengurusan universiti. Oleh yang demikian saya menyeru pada semua agar kita sama-sama berganding bahu dalam menjayakan misi dan visi surau tanpa mengharapkan pujian, penghargaan dan balasan melainkan keredhaan Allah.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Majalah Permata dan Laman Surau UTHM

February 2, 2008

SATU LAMBANG BARISAN ALTERNATIF

Isu ini acapkali dibangkitkan dikalangan pendokong-pendokong Barisan Alternatif (BA) setiapkali pilihanraya mengunjung tiba. Sengaja ingin saya menyinggung cadangan ini kerana bagi saya ia telahpun diperhalusi oleh seluruh pimpinan BA tentang kebaikannya. Disini tidaklah ingin saya menjelaskan tentang kebaikan mahupun keburukan penggunaan satu lambang bagi BA dalam pilihanraya akan datang kerana telahpun diulas oleh pimpinan BA, yang telah jelas menerima idea ini sehinggakan usul ini telahpun dipersetujui oleh Majlis Presiden BA satu ketika dahulu dan seterusnya dibawa ke Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Memang kita sedia maklum bahawa cadangan tersebut terpaksa dibakulsampahkan dek kerna peraturan SPR yang menetapkan tujuh buah parti dalam sesuatu gabungan (yang merujuk kepada BA). Kita sedia maklum bahawa terdapat hanya dua parti komponen barisan alternatif iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS). Ini bermakna kita kekurangan lima buah parti dalam usaha membentuk pakatan rasmi yang diiktiraf oleh SPR dan seterusnya melayakkan penggunaan satu lambang bagi seluruh parti dalam BA.

Sebagai penyelesaian terhadap masalah ini saya mencadangkan dua formula yang bisa diaplikasi dalam menterjemahkan usaha "menyatulambangkan" BA dalam pilihanraya akan datang bagi mengelakkan kekeliruan, pembaziran tenaga, kewangan dan jentera terutamanya melibatkan urusan publisiti juga perang poster.

Formula yang pertama ialah BA yang kini terdiri daripada PKR dan PAS perlu memujuk Parti Tindakan Demokratik (DAP), untuk kembali bersama BA, sememangnya usaha ini amat sukar walaubagaimanapun saya percaya seandainya Dato' Seri Hadi Awang dapat menggunakan budibicara sepertimana yang dilakukan oleh mantan Presiden PAS, Allahyarham Dato' Fadhil Noor tidak mustahil DAP akan kembali berpayung dibawah BA.

Seandainya masih gagal, pakatan BA sewajarnya memujuk Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang baru dihidupkan semula, Parti Demokratik Malaysia (MDP) disamping dua buah parti pembangkang Borneo iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan beberapa parti yang mungkin saya terlepas pandang tentang kewujudannya antaranya Parti Demokratik Setiasehati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (SETIA) untuk bersama-sama menyertai BA. Dengan ini secara tidak langsung bisa menjumlahkan sekurang-kurangnya tujuh parti dalam komponen BA dan seterusnya melayakkan penubuhan BA secara rasmi dan diiktiraf oleh SPR untuk bertanding dalam satu lambang dalam pilihanraya 2008 yang akan datang.

Formula yang kedua, BA yang kini hanya terdiri daripada PAS dan PKR, mungkin perlu bertolakansur dimana hanya satu lambang daripada dua parti ini sahaja akan digunakan untuk mewakili BA dalam pilihanraya akan datang atau dengan kata lain, salahsatu parti perlu berkorban lambang untuk sementara waktu semata-mata dalam pilihanraya akan datang. Berikutan sifat PKR yang agak "Malaysia". Saya mencadangkan lambang PKR digunakan untuk mewakili BA. Ini bermakna semua calon BA sama ada daripada PAS, PKR mahupun proksi-proksi BA yang gagal mendapat kelulusan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) perlu menggunakan lambang PKR dalam pilihanraya akan datang bagi membuktikan kesatuan dan perpaduan dalam BA itu sendiri.

Kedua-dua formula ini adalah amat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan, walaubagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil dengan syarat kesemua parti-parti pembangkang atau parti komponen BA perlu mengorbankan keegoaan dan prinsip asas masing-masing dan meletakkan matlamat kemenangan dalam pilihanraya akan datang sebagai keutamaan dalam usaha membentuk Malaysia yang Baru sepertimana yang didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Penggunaan satu lambang ini amat penting dan bisa memperlihatkan perpaduan dikalangan komponen BA dan seterusnya melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Alternatif yang bakal dibentuk oleh BA kelak.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Tranungkite Online dan Marhaen

January 14, 2008

YANG TERBAIK DALAM UMNO?

Sengaja ingin saya menyinggung persoalan yang dibangkitkan oleh Saudara Anuar dalam isu terbaru dalam laman Umno-Reform. Terdahulu bersama tajuk panasnya yang terburuk dalam senarai umno-reform, kini timbul isu baru yang bertajuk dah la. Kedua-dua tajuk ini sememangnya berbeza tetapi pengisian dan matlamatnya hampir sama iaitu mahukan pimpinan baru yang bisa merobah persepsi masyarakat terhadap perjuangan UMNO yang sehingga kini masih kurang meyakinkan disamping merobahsemula perjuangan UMNO agar selari dengan kehendak rakyat khususnya bangsa Melayu. Walaubagaimanapun apalah ertinya isu ini dibangkitkan tanpa ada isu yang kontradiksi dengannya.

Saya telah mencadangkan kepada Saudara Anuar agar menimbulkan isu yang terbaik dalam UMNO. Saya yakin pendekatan ini adalah lebih berhikmah jika dibandingkan dengan pendekatan memaparkan yang terburuk dalam UMNO. Setidak-tidaknya, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain akan terus dan lebih bermotivasi untuk menggolongkan diri dikalangan yang terbaik. Secara langsung mahupun tidak langsung, ia akan memberikan keuntungan kepada rakyat yang mendambakan kepedulian daripada pemimpin yang mewakili mereka. Ia juga tidak terkecuali bisa membantu pimpinan UMNO terutamanya YAB Dato Seri Abdullah dalam usaha memilih calon-calon yang terbaik untuk UMNO dalam pilihanraya akan datang dan bisa membantu beliau untuk membentuk barisan kabinet yang mantap, bersih dan berwajah rakyat.

Izinkan saya untuk membuat pencalonan pertama untuk terbaik dalam UMNO. Calon yang kedua dan seterusnya saya serahkan kepada Saudara Anuar dan teman-teman yang lain untuk sama-sama tentukan secara rasional. Calon yang saya maksudkan ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Dato Shahrir Samad. Siapakah yang terbaik dalam UMNO pilihan anda? Sama-sama kita nilai untuk kebaikan semua terutamanya Melayu kerana UMNO adalah jelas milik bangsa Melayu. Mungkin telah tiba masanya untuk kita Memiliksemulakan UMNO untuk seluruh bangsa Melayu bukannya seperti kini UMNO hanya dimiliki oleh golongan tertentu, untuk perjuangan tertentu, untuk kepentingan tertentu yang jelas ianya telah bercanggah dengan peranan dan matlamat utama penubuhannya.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam UMNO-reform.com

November 21, 2007

TUKAR SEGERA IRAMA LAGU KEBANGSAAN

Serangan terhadap lagu Negaraku, secara bertubi-tubi yang dimulakan dengan isu penciplakan irama lagu Mamula moon, kemudian isu "campak ke laut" antara penyanyi Hattan dan Ahli Parlimen Sri Gading, YB Dato' Haji Muhamad b. Haji Aziz dan terbaru kemunculan Negarakuku karya Namewee. Semua ini menimbulkan kesedaran dalam benak fikiran saya sehingga menyebabkan saya merasakan telah tiba masanya irama lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditukar dengan menggantikan irama baru yang diinspirasikan oleh komposer tempatan. Sengaja saya memanaskan semula isu ini yang kelihatan mulai sejuk dan membeku rentetan pejuang-pejuang muzik tempatan yang kepenatan dalam usaha memperjuangkan isu ini berikutan rasa kecewa kerana tidak mendapat layanan dan perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.

Saya mencadangkan agar irama lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku diberinafas baru disamping mengekalkan lirik asalnya. Saya dengan penuh yakin dengan kebolehan komposer tempatan merasakan adalah wajar tanggungjawab pengilhaman semula irama Negaraku diserahkan sepenuhnya kepada komposer-komposer tempatan dibawah kawalselia kerajaan. Saya secara peribadi merasakan ia merupakan satu keperluan yang mendesak supaya isu penciplakan ini yang dipelopori oleh pihak tertentu dapat dihentikan dan dibakulsampahkan. Kerajaan sewajarnya melayani isu ini dengan sewajarnya kerana ia kelihatan amat relavan dengan keadaan semasa. Isu ini juga telah menyebabkan maruah Malaysia tercemar berikutan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu yang sememangnya ada kebenaran dan asasnya.

Imbas semula sejarah lagu Negaraku, diilhamkan berdasarkan inspirasi lagu Kebesaran Negeri Perak. Lagu ini pada asalnya merupakan rentak sebuah lagu yang telah dicipta oleh penggubah Perancis, Pierre Jean De Beranger (1780-1857). Lagu ini diperkenalkan oleh sebuah pancaragam Perancis yang mengadakan persembahan di Pulau Mahe yang terletak dalam Kepulauan Seychelles. Raja Muda Perak, Raja Abdullah Muhammad Shah ibni Sultan Jaafar Safiuddin Muazam Shah yang telah dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles, telah memperkenalkan lagu yang diberinama Trang Bulan. Sekembali semula ke Negeri Perak, Raja Muda Raja Abdullah telah menulis senikata lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan yang disusunkan dengan irama lagu Trang Bulan dan kemudiannya menjadikannya sebagai lagu rasmi Negeri Perak. Irama lagu ini kemudiannya telah dipilih sebagai irama lagu kebangsaan Malaysia. Berikut saya sertakan beberapa klip video yang merujuk kepada perbandingan lagu Negaraku dengan lagu-lagu yang diciplaknya iaitu Mamula Moon, Terang Bulan dan Trang Bulan.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Tranungkite Online dan Marhean

September 11, 2007

ULANGTAHUN MALAYSIA 44 VS KEMERDEKAAN MALAYA 50

Isu ini muncul setelah saya mula membaca blog teman saya Ainisazreen yang bertemakan Hari Lahir Malaysia ke 50 dan blog Nurul Izzah Anwar juga miliki tema yang hampir sama. Seterusnya teringat saya tentang petikan kenyataan Dr. Jeffry Kitingan baru-baru ini mengisytiharkan Kemerdekaan Sabah yang ke 44 yang menimbulkan beberapa polemik. Seterusnya terdetik dibenak hati saya untuk bertemu dengan teman saya yang merupakan pensyarah subjek kenegaraan disalahsebuah universiti tempatan, untuk membicarakan tentang isu ini dan beliau menegaskan bahawa sejarah ulangtahun Malaysia yang ke 50 memiliki fakta dan dalam ertikata yang bisa saya tafsirkan dengan agak keras ialah boleh didefinisikan sebagai penyelewangan fakta.

Andainya Malaysia mengisytiharkan ulangtahunnya 50, maka secara tidak langsung sejarah Malaysia telah berubah seolah-olah Tanah Melayu (Malaya) telah menjajah Sabah dan Sarawak. Sedangkan jika sejarah disingkapi dengan lebih telus, pembentukan Malaysia terjadi hasil persefahaman dan persetujuan bersama antara Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu dan seterusnya secara bersama membentuk negara baru yang dinamakan Malaysia.

Malaysia bukan penukaran nama daripada Malaya ataupun Tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara baru hasil gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Sebagai tanda keramat membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak bukan dijajah oleh Tanah Melayu, maka pemimpin-pemimpin tempatan Sabah terdahulu sebagai contoh Donald Stephens (Tun Fuad) dan Datu Mustapha Datu Harun telah membuat perjanjian dimana hak keistimewaan Sabah harus dikekalkan melalui 20-point agreement bersama pimpinan Tanah Melayu (Malaya) iaitu Tunku Abdul Rahman yang juga penerajui kewujudan Persekutuan Malaysia. Atas dasar ini jugalah maka Sabah menerima penubuhan negara baru Malaysia bersama Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak. Oleh itu, tindakan kita menyambut ulangtahun ke 50, Malaysia adalah satu tindakan yang agak kurang bijak disamping memperlihatkan kekurangan ilmu kita berkenaan sejarah pembentukan negara kita sendiri, Malaysia. Tindakan ini sungguh mengecewakan jika dibiarkan berterusan tanpa pembetulan.

Jika benar kita mengiktiraf sejarah penubuhan negara kita yang sebenar-benarnya. Mungkin ada kewajaran untuk kita sama menantikan detik 16 September 2007 untuk kita sama-sama meraikan Ulangtahun Kelahiran Malaysia ke 44. Atau mungkin kita akan terus menjadi hamba kepada kepincangan fakta ini dan terus meraikannya tanpa merasa bersalah kepada diri sendiri apatah lagi kepada Malaysia yang kita sayangi. Sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita memperbaiki kesilapan ini agar kepincangan ini tidak diwarisi dan kita terus menjadi hamba kepada kepincangan fakta ini untuk selama-lamanya.

Artikel ini pernah dipaparkan oleh Malaysia-Today.net dan Laman Marhean.

August 10, 2007

ADIHAMKA, WADAH DAN PERJUANGANNYA

Berikut adalah petikan respon yang diberikan oleh Timb. Ketua Penerangan AMK, Saudara Hidayat melalui blog beliau Dengan Izin.

Saudara Faizal,

Perdebatan kian hangat dek kerana sepatah ayat yang saya nukilkan : Malah kalau DSAI sendiri memilih untuk keluar daripada perjuangan ini kerana percaturan peribadi, maka beliau juga akan saya sanggah. Saya meminta sesiapa saja yang membaca agar tidak melarikan skop diskusi daripada pokok pangkal asal. Asal perbincangan ini bermula apabila saya mengeluarkan pendapat
apakah benar KeADILan tidak dipimpin matang, secara diktator dan kepimpinan lemah sebagaimana yang dilemparkan oleh Mantan Ketua AMK, Sdr Ezam. Ini perkara asas.


Pada hemat saya, ‘keluar daripada perjuangan’ tidak boleh dilihat dalam skop yang kecil, iaitu sekadar wadah semata-mata. “perjuangan” yang saya istilahkan lebih bersifat menyeluruh, persoalan merencanakan agenda. Dalam erti kata yang mudah, agenda dan wadah berada dalam ‘kapal’ yang sama, menuju destinasi yang satu. Tidak perlu timbul isu persoalan berbeda, samada perjuangan ataupun wadah perjuangan.


Apa guna kita berjuang, punyai agenda yang maha hebat, tetapi wadah yang dipilih terus silap, menyimpang daripada haluan menuju destinasi yang dituju? Dalam konteks keluarnya ahli-ahli KeADILan kononnya sudah tidak yakin dengan kepimpinan KeADILan dan mahu berjuang daripada luar parti politik, saya melihat di tahap mana kebijaksanaan yang ditaruhkan.


Apakah tahap kematangan rakyat Malaysia sudah berada di tahap yang begitu dasyat, sehingga boleh mengubah situasi hanya melalui jalanraya, tanpa perlu melalui proses pilihanraya? Saya tidak mengatakan bahawa ‘mass force’ (tekanan massa) tidak penting, tetapi saya melihat ‘mass force’ lebih berperanan sebagai melengkapi ‘political force’. Dalam iklim Malaysia, perubahan secara dominan perlu dimulakan melalui sistem politik.


Saya boleh bersetuju bahawa relevansi wadah tidak berkadaran dengan masa. Tetapi tidak sukar menilai keperluan sesuatu wadah untuk didukung mendepani perjuangan agar perjuangan sampai ke destinasi yang tepat. Pada saya, gagal memilih wadah yang betul, sama seperti menaiki kereta yang tidak ada stereng, enjinnya jahanam, tayarnya botak, untuk berkelana seluruh Semenanjung Malaysia. Saya yakin, kalau ini senario yang kita pilih, maka tawakal lah menghadapi risiko.


Pada saya, saya boleh menghormati sesiapa saja yang keluar parti, kalau mereka merasakan wadah ini tidak sesuai. Pak Abu (Saari Sungib) keluar KeADILan, Annuar Tahir keluar KeADILan, tetapi mereka tidak mencemuh parti bahawa parti ini tidak ada masa depan, dipimpin diktator dan sebagainya. Hatta Rahman Othman pun, dia keluar dengan hormat, hanya menyatakan ‘yang penting kita masih berada di dalam barisan pembangkang’, meskipun satu ketika dahulu tatkala meletakkan jawatan Bendahari Agung beliau turut mengecam parti.


Dr Muhamad Nur Manuty, dahulunya calon Timbalan Presiden KeADILan (2001), tetapi apabila beliau tewas, ya, beliau memilih tidak aktif di dalam KeADILan lagi, dan terus berpencak di pentas NGO. Tetapi adakah beliau melakukan perkara yang seumpama yang berlaku kini? Di saat ada bukti bahawa wujud usaha terancang mempengaruhi orang untuk keluar parti, kononnya ini bukan masa sesuai untuk berpolitik, akan nobatkan Anwar untuk jadi PM tahun 2012, fakta ini terus tinggal usang tidak berjawab.


Ya, Anwar akan saya sanggah, kalau ‘tuning’ perjuangan ini lari dari apa yang beliau perjuangkan sedari dulu. Dan kalau beliau memilih Umno pun, saya tetap sanggah meskipun saudara mungkin berpendapat bahawa Umno punya ruang untuk berubah. Kerana saya berpegang pada kata-kata Anwar sendiri, “Umno ibarat kereta yang rosak parah, justeru membaikinya sama dengan menukar kereta baru.”


Tuntasnya, tidak ada masalah menukar wadah, tetapi biarlah wadah itu berkesan, dan paling penting tidak rosak. Apa guna berjuang melaung kalimah semangat, tetapi salah memilih wadah, akhir nanti kekal sesat mencari destinasi. Menukar wadah juga bukan satu pengkhianatan, tetapi sesiapa saja boleh menilai samada wujud unsur pengkhianatan atau tidak, kalau memilih untuk menukar wadah, kemudian memalitkan kekotoran pada wadah yang ditinggalkan. Pastinya itu tidak bijak.


Yang membezakan manusia sesama manusia, pada perkiraan saya ada dua, iman dan prinsip. Maka apabila seseorang itu teguh prinsipnya, penghormatan saya berhak beliau peroleh. Tetapi kalau perilaku bercanggah dengan prinsip, jangan ditanya kenapa mereka dicemuh. Pada saya, yang keluar, biar lah keluar. Kalau dulu pernah dipopularkan kalimat, “Seorang Anwar dan Ezam di dalam, seribu Anwar dan Ezam akan muncul di luar.” InsyaAllah doakan saja pada Allah Maha Esa segala-galanya berjalan sebagaimana aturanNya. Jazakallah Bi Khair..

August 4, 2007

PERJUANGAN WADAH vs WADAH?

Kira-kira 2 minggu aku dan teman-teman menghabiskan masa memikirkan idea-idea fresh dan dalam tempoh tersebut juga kami merealitikannya dalam bentuk gerak kerja dan aktiviti-aktiviti. Semuanya membutuhkan masa, tenaga dan kewangan yang bukan alang-kepalang. Atas kerjasama, tolak ansur, semangat berpasukan yang diikat melalui ikatan persaudaraan Islam. Semua kesulitan telah bisa dirungkaikan secara penuh hikmah dengan petunjuk Allah SWT. Alhamdulillah, syukur kepadaNya. Segala-galanya telah dipermudahkanNya.

Dalam tempoh tersebut terdetik dihati tentang peripentingnya WADAH dalam merealitikan sesuatu agenda! Lalu jiwa aku memberontak, tercetus keinginan untuk mempersoalkan apakah yang lebih penting, di antara WADAH atau (misi) PERJUANGAN (yang digagaskan oleh) WADAH tersebut.

Kita miliki misi besar (perjuangan mewujudkan Agenda Malaysia Baru), andainya WADAH yang kita dokong kini sukar membawa kita ke arah mencapai misi besar tersebut dan dalam masa yang sama terdapat satu wadah yang lain, yang lebih diyakini juga memiliki potensi tinggi untuk merealisasikan agenda tersebut (Agenda Malaysia Baru). Apakah kita harus menyempitkan potensi diri dan mengorbankan peluang dan ruang pantas untuk menggapai misi PERJUANGAN WADAH, lantas terus kekalkan diri dalam kepompong komuniti kita, lalu berkokok, mengokok dan terus berkokok.

Setelah mengenangkan ia tidak mengesankan, apakah menjadi ia menjadi satu pengkhianatan atau satu kesalahan apabila kita menukarkan tuning WADAH, dan dalam masa yang sama agenda untuk meneruskan misi besar tersebut tidak dipadam malah terus dibakar cuma WADAH yang lebih diyakini dipilih berteraskan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap perjuangan menggapai misi PERJUANGAN WADAH tersebut?

Lalu, tercetus persoalan, lalu aku lemparkan kepada Timbalan Ketua Penerangan AMK, Hidayat Saifudin bagi merespon persoalan dan keinginan beliau untuk "menyanggah DS Anwar Ibrahim"! Bukan bertujuan untuk menguji kewibawaan beliau, tapi jiwaku meronta-ronta berkeinginan mengetahui jawapan menurut persepsi beliau. Apakah aku akan temui jawapan yang sama sepertimana jawapan yang tersedia dalam jiwa aku? Hanya beliau sahaja bisa merungkaikan. Berikut aku petikan semula untaian persoalan yang telah ku lemparkan kepada beliau, moga beliau tidak berat hati merespon persoalan ini, kerana aku sendiri masih kabur untuk menjawab andai aku sendiri berada diposisi beliau.

"Saudara Hidayat Saifudin,

Terima kasih atas respon saudara dalam nukilan komen dalam blog saya. Sekadar mewujudkan satu diskusi berbicara persoalan antara "WADAH dan "PERJUANGAN WADAH". Sejujurnya persoalan ini amat berkaitrapat dengan tindakan Bekas Ketua Pemuda KEADILAN, Ezam Mohd Nor dan teman-temannya.
Saudara menyatakan bahawa saudara akan menyanggah DSAI, seandainya beliau keluar dari perjuangan (WADAH KEADILAN) ini? Apakah dengan penyertaan beliau dalam UMNO membisakan saudara menyatakan bahawa beliau mengkhianati perjuangan ini? Sedangkan saudara sendiri tahu bahawa UMNO adalah WADAH terbaik dalam menjana dan merealisasikan misi perjuangan (PERJUANGAN WADAH) ini, iaitu AGENDA MALAYSIA BARU.

Apakah saudara hanya memperjuangankan WADAH? atau saudara memperjuangankan PERJUANGAN WADAH tersebut, iaitu merealisasikan AGENDA MALAYSIA BARU? Kenyataan saudara memperlihatkan saudara hanya memperjuangankan WADAH, bukannya (misi) PERJUANGAN WADAH. Kerana WADAH bukanlah sesuatu yang relavansi berkadaran pada setiap masa. Dulu UMNO adalah WADAH terbaik, kini mungkin KEADILAN yang terbaik, tetapi belum pasti ia akan terus menjadi terbaik dan tidak mustahil UMNO akan kembali menjadi yang terbaik semula dan seterusnya melayakkan kita menjadikan ia WADAH. Apakah saudara akan mengekalkan diri saudara dalam WADAH ini dan terus mempertahankan WADAH ini atau saudara akan meninggalkannya lalu menyertai pasukan Lokman Adam, Ruslan Kassim ataupun Ezam Mohd Noor mungkin Zukri Aksah?

Saya sekadar memfilontropiakan idea, UMNO Dulu-dulu, Dahulu dan Mungkinkah Akan Datang?" (...kini ditiadakan)

July 13, 2007

ANTARA "BABAD KEDUA SANDIWARA KEADILAN" ATAU TINDAKAN "PENDEKAR EZAM" YANG TIDAK MATANG?

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Saudara Hidayat Saifudin. Membicarakan isu penarikdirian Saudara Ezam Mohd Nor dari KEADILAN dan kematangan beliau dalam tindakan. Untuk diskusi lanjut sila layari blog adihamka. Penjelasan yang ringkas tetapi amat menarik untuk direnungi bersama.

Saudara Faizal

Ketidakmatangan yang saya maksudkan begini, dalam keadaan parti tidaklah sekuat mana, beliau terus menghentam. Pada saya tindakan ini pun tidak matang. Apatah lagi bahu beliau juga terpikul dengan pelbagai versi tuduhan yang tidak dijawab, yang nadanya hampir sama dengan apa yang dilempar Saudara Ezam. Evaluasi itu penting, muhasabah diri. kelemahan perlu ditampung dengan daya usaha, bukan tikam menikam.

Saya tidak melihat isu yg dibangkitkan Saudara Ezam ini tidak berasas, cuma pada hemat saya, berkelakuan begini disaat-saat genting sebegini memberi ruang seluas-luasnya untuk menjahanamkan gerakan secara sistematik.

Saya difahamkan daripada beberapa sumber, penarikan diri yang dibuat banyak dipengaruhi oleh Saudara Ezam sendiri, daripada penarikan diri AMK sehinggalah dalam mesyuarat bahagian shah alam yang lepas dan Saudara Ezam perlu tampil menjelaskan keadaan agar pendukung perjuangan tidak berterusan prejudis ke atas beliau.

Ulasan saya :

Terima kasih atas penjelasan yang diberikan. Mungkin kita sama-sama lebih bersetuju dengan pendekatan Saudara Saifuddin Nasution dan Saudara Anuar Tahir, yang keluar dari KEADILAN dengan senyap-senyap, lalu masuk PAS tanpa sebarang pengisytiharan. Kini Saudara Anuar Tahir menjadi AJK PAS Pusat manakala Saudara Saifuddin Nasution (Pengurus Yayasan milik PAS) dan baru-baru ini beliau dilamar semula oleh DSAI dan dilantik menjadi Pengarah Strategi KEADILAN.

Saya percaya kita berdua sendiri masih tertanya-tanya apakah yang sebenarnya yang berlaku! Sekarang kita cuma mampu tunggu dan lihat, siapa sebenarnya bersandiwara. Antara DS Anwar, Saudara Azmin Ali atau Saudara Ezam!

Saya percaya pejuangan-pejuang seperti Dr. Badrol Amin, Tian Chua, Sivarasa Rasiah, N.Gobalakrishnan, Mustafa Kamil Ayub dan beberapa pimpinan tertinggi KEADILAN masih memiliki keikhlasan dan kejujuran yang tinggi dalam perjuangan.

Saya cuma agak kurang yakin dengan DS Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini berikutan tindakan beliau yang hanya menyerang peribadi TPM dan amat jarang menyerang PM dan Naib Ketua Pemuda UMNO, seolah-olah memiliki suatu agenda tersirat atau mungkin ada formulasi sulit tertentu yang bisa membinasakan perjuangan KEADILAN atau mungkin juga ia satu formulasi sulit yang bisa memperkasakan perjuangan KEADILAN? Apakah muslihat disebalik semua ini? Saya percaya saudara dan teman-teman yang lain pasti hanya mampu membisu tanpa sebarang jawapan, kerana jawapannya hanya ada pada DS Anwar, Saudara Azmin dan Saudara Ezam sahaja. Persoalannya kini, wajarkah kita hanya tunggu dan lihat?

July 6, 2007

CADANGAN LOGO SATRIA PAS?

Salahseorang daripada pembaca blog ini, byxura secara sukarela telah merekabentuk logo cadangan bagi SATRIA sepertimana yang terpapar disebelah. Bagi saya hasil logo yang dikirimkan saya adalah suatu hasil kerja yang amat kreatif. Mohon agar cadangan ini dipertimbangkan oleh pihak Dewan Pemuda PAS Pusat khususnya pengurusan UNIT AMAL. Mungkinkah logo dan idea ini akan diterima? Mungkinkah ia akan ditolak? Kita tunggu saat kemunculan UNIT AMAL versi baru! Walauapapun nama atau logonya, yang pasti kewujudannya atau kemunculan jenama barunya pasti bisa memberi impak yang besar kepada negara terutamanya golongan remaja lelaki amnya. Terima kasih kepada harakahdaily, laman marhaen dan laman web Pemuda PAS Pusat atas kesudian memetik artikel ini, berkenaan isu Penjenamaan Semula Unit Amal PAS. Semoga keprihatinan mereka memaparkan isu ini akan dapat mengilhamkan idea kepada pengurusan UNIT AMAL dalam usaha menjana perubahan dengan lebih pantas dan mengesankan bagi memperkasakan lagi UNIT AMAL ini. Semoga dipermudahkanNya.

July 4, 2007

PENJENAMAANSEMULA UNIT AMAL DPPP

Sejak kebelakangan ini, isu penjenamaan semula atau re-branding, hangat dibicarakan oleh pimpinan PAS yang dipelopori oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Tujuan dan matlamat utama Penjenamaan Semula ini tidak lain dan tidak bukan bagi menarik seberapa banyak sokongan anak muda melayu dan juga masyarakat bukan Islam untuk mendekati dan memahami perjuangan PAS. Idea ini amat menarik dan antara hasil pertama dan utamanya ialah kemunculan NISA'. Iaitu satu unit yang berperanan untuk memberi saingan kepada PUTERI UMNO dalam memenangi hati golongan wanita muda melayu.

Kejayaan Nisa' yang dinaungi oleh Muslimat PAS Pusat menyebabkan timbulnya gesaan dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) baru-baru ini dan sebulat suara bersetuju untuk menggesa Dewan Pemuda PAS Pusat menjenamasemulakan Unit Amal bagi menangani remaja lelaki berdasarkan kejayaan Unit Nisa' Muslimat.

Cadangan yang dibawa oleh Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan antara lain untuk menyediakan platform alternatif kepada anak-anak muda lelaki (terutamanya ahli PAS) bagi mendedahkan mereka kepada aktiviti berpersatuan dan menyalurkan mereka yang berpotensi sebagai pelapis. DMPWP juga mengharapkan unit ini akan mendekatkan PAS dengan masyarakat dan mengambil tanggungjawab untuk memandu golongan muda terutamanya remaja ke arah aktiviti yang lebih bermanfaat. Unit amal hendaklah diberikan penarafansemula supaya tidak hanya mengendalikan urusan kebajikan dan badan beruniform semata-mata, bahkan dapat mengendalikan remaja lelaki sepertimana Nisa'.

Saya amat bersetuju dengan cadangan dan gesaan yang dibuat oleh DMPP. Pada hemat saya perkara asas dalam penjenamaan semua Unit Amal adalah namanya tanpa menafikan pengisiannya. Bagi saya penggunaan nama Unit Amal adalah agak kurang komersil dan secara jujurnya ia gagal meransang hati anak muda terutamanya golongan remaja untuk menyertai apatah lagi untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang perjuangan dan fungsinya.

Saya merasakan adalah menjadi satu keperluan yang mendesak untuk Dewan Pemuda PAS Pusat untuk menukar nama Unit Amal kepada nama lain yang difikirkan sesuai dan yang paling penting dapat melambangkan imej baru PAS agar ia dapat diterima oleh golongan muda yang berkepelbagaian latarbelakang.

Saya sekadar mencadangkan satu nama yang terbaik untuk Dewan Pemuda PAS Pusat pertimbangkan. Nama yang saya cadangkan ialah SATRIA. SATRIA memiliki makna yang jelas disamping memiliki sebutan yang bernilai komersil selain melambangkan nilai juang dan kekuatan anak muda yang meronta-ronta menginginkan perubahan.

Penjenamaansemula ini memerlukan tindakan yang segera dan dalam masa yang sama memerlukan kajian yang mendalam agar ia tidak menjadi liabiliti dalam perjuangan DPPP dan PAS amnya. Mungkin dengan penukaran nama Unit Amal kepada SATRIA atau nama-nama lain yang difikirkan sesuai akan dapat memberi saingan kepada Putera UMNO dan bisa memberikan nilai tambah kepada proses penjenamaansemula PAS mahupun DPPP sepertimana yang diperjuangkan oleh pucuk pimpinan baru PAS kini. Kelewatan ataupun usaha menangguhkan penjenamaansemula ini hanya akan mencacatkan usaha penjenamaansemula PAS secara keseluruhannya.

Oleh yang demikian saya menyokong penuh gesaan DMPP agar DPPP memulakan usaha-usaha untuk menjenamakan semula Unit Amal secepat mungkin agar peranannya dapat diterjemahkan dalam usaha menawan hati anak muda terutamanya golongan remaja dan bukan Islam bagi memastikan penerimaan mereka terhadap PAS dalam pilihanraya yang akan datang akan meningkat dan seterusnya mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti alternatif di Malaysia.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Harakahdaily, Marhaen dan Laman Pemuda PAS

June 24, 2007

KHALID JAAFAR MEMBICARAKAN ISU AA GYM, PENCERAHAN, IKD & ISLAM LIBERAL

Pertama ingin saya rakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Khalid Jaafar atas kesudian meluangkan masa untuk melayani persoalan-persoalan saya yang remeh bagi segelintir pihak tetapi tidak bagi saya. Mungkin saya tidak perlu mengulas jawapan yang terpancar daripada pandangan dan isihati Pak Khalid Jaafar. Secara jujurnya terdapat beberapa jawapan yang diberikan bisa menjana pemikiran saya ke arah satu dimensi pemikiran yang idealistik. Sejujurnya juga terdapat juga jawapan yang saya agak kurang bersetuju dengan beliau, walaubagaimanapun saya hormati prinsip dan pandangan beliau. Berikut saya lemparkan semula jawapan-jawapan yang diberikan oleh Pak Khalid Jaafar untuk diskusi minda bersama.


Saya memang tidak berminat dengan A A Gym. Kalau ada orang lain yang meminatinya, silakan. Kenapa saya tidak meminati kiyai itu: Pertama gerakannya merupakan gerakan populis yang tidak berteraskan ilmu. Mirip seperti al-Arqam dalam aspek "kultus peribadi". Dalam setiap produk yang dijual oleh gerakannya ada tertempel gambar kiyai itu. Beliau menjadikan dirinya sebagai selling point. Kedua: gerakan itu bersifat sentimental. Ambil saja konsep "manjemen qolbu" a.k.a MQ. Maka pendewa-pedewa beliau mengaktakan ini mengikut tasauf. Wacana-wacananya pada saya tampak dangkal. Tasauf yang saya pelajar dan diajarkan adalah jauh lebih mendalam. Kalbu bukan perasaan. Kalbu juga tempat akal atau intelek. Penghuraian lebih lanjut boleh dibaca dalam tulisan-tulisan al-Ghazali dan pengikut-pengikut al-Ghazali dirantau ini seperti Abdul Samad al-Falimbani. Saya menegaskan sifat ilmu kerana ilmu begitu ditegas dalam al-Qur'an. Kerana penegasan terhadap ilmu itulah Islam mencipta tamadun. Ceramah yang membuatkan pendengar-pendengarnya mengalir dan mengesat air mata - seperti yang selalu berlaku dalam A A Gym - tidak akan membina tamadun. Bukannya menangis kerana kesedaran dan taubat itu salah. Taubat itu bagus. Yang saya kritik adalah ketiadaan landasan ilmu. Tanpa kebangkitan ilmu tidak akan ada kebangkitan Islam yang sejati.

Jawapan 2: Pencerahan

Saya tidak mempelopori Pencerahan. Pencerahan itu terlalu besar untuk saya pelopori. Pencerahan dipelopori oleh pemikir-pemikir seperti Immanuel Kant, Voltaire, John Locke, David Hume dan lain-lain. Saya dan IKD sekadar memperkenalkannya kepada masyarakat Malaysia. Saya melakukan ini kerana saya berkeyakinan Pencerahan itu perlu diketahui masyarakat Malaysia yang berpendidikan. Rata-rata graduan universiti Malaysia tidak pernah mendengar istilah Pencerahan. Ini bukti kegagalan sistem pendidikan kerana mahasiswa yang tidak tahu Pencerahan tidak tahu asal usul zaman ini. Tanpa Pencerahan tidak akan ada apa yang disebut sebagai modeniti dan kita tidak akan mengerti dunia moden. Saya telah membuat penjelasan tentang Pencerahan dalam pengantar kepada risalah I Kant yang bertajuk Apa itu Pencerahan.

Apakah dengan mempopulerkan Pencerahan saya kebaratan? Antara penulis-penulis Melayu saya yang paling banyak menulis tentang Mahabharata, satu epik India, sehingga saya dituduh kehinduaan. Saya juga menulis tentang San Guo Yang Yik (Kisah Tiga Negara (epik Cina). Saya terlibat mempopularkan buku Ibn Rushd yang bertajuk Fasl al-Maqal sehingga membawa penterjemahannya ke Melayu. Saya dan rakan-rakan juga membedah otobiografi intelektual al-Ghazali yang bertajuk al-Munqiz min al-Dalal dan saya menggesa rakan-rakan meneroka pemikiran Ibn Arabi.

Kant adalah pemikir barat. Betul. Lawan atau kawan kita perlu memahami barat. Bagi saya carat untuk memahami barat bukan melalui kritikan S Qutb atau Hasan Nadwi tetapi melalui karya-karya pemikir-pemikir besarnya. Dan Kant adalah salah seorang pemikir barat yang terbesar dan pemikir terbesar Pencerahan.

Jawapan 3: IKD dan Islam Liberal

IKD tidak punya kiblat pemikiran. Bila sembahyang kiblat kami sama dengan kiblat semua umat Islam. Dalam satu satu persoalan kami mengikut pemikiran siapa yang lebih jitu. Dalam pemikiran politik saya dapat hujah liberal lebih mantap dan pengalaman sejarah juga beradalam di sebelah faham liberal. Saya mengikuti Ibn Arabi dalam metafizik, mengikuti Ibn Rushd dalam perdebatan antara golongan kalam dengan filasuf. Saya tidak akan menyelongkar kitab-kita Ibn Arabi atau Ibn Rushd, mahupun Ibn Sina atau al-Ghazali, apalagi ulamak semasa seperti Yusuf al-Qaradhawi untuk memahami persoalan asas politik. Bagaimana dengan falsafah politik Islam dan tokoh nyaseperti al-Farabi? Pendirian saya setakat ini, saya sedia merobahnya kalau ada hujah kukuh, falsafah politik Islam merupakan aspek pemikiran Islam yang paling lemah dan paling tidak original. Saya lebih suka melabur masa untuk menelaah dialog-dialog Plato dari tulisan politik politik al-Farabi.

IKD pendukung faham liberal. Islam Liberal tidak ada kaitan dengan faham liberal maka IKD tiada kaitan dengan Islam Liberal. Antara unsur penting dalam liberalisme adalah pasaran bebas dan pemerintahan terbatas. Setakat yang saya tahu dua aspek ini tidak diwacanakan oleh Islam Liberal. Islam Liberal mewacanakan kebebasan. Wacana kebebasan tidak cukup untuk menjadikan sesaorang itu liberal. Filasuf Perancis Jean-Paul Sartre membuat wacana kebebasan radikal namun beliau bukan seorang liberal dan tidak menyebut dirinya sebagai seorang liberal. Sartre adalah seorang Existentialis.

June 21, 2007

IDEA PENCERAHAN BAKAL MENCERAHKAN PARTI KEADILAN RAKYAT?

Aku sedang menantikan jawapan daripada Pak Khalid Jaafar tentang isu Idea Pencerahan atau Enlightenment, semestinya bukan aku seorang sahaja tertanya-tanya. Persoalan, apa itu pencerahan? apa itu Islam Pencerahan (Tanwiri)? Ada juga aku berbincang panjanglebar berkenaan isu ini bersama Saudara Fathi Aris Omar melalui ruangan komen!

Teringat aku kepada kata-kata Mat Saman Kati dalam blog aku, "Baru ini aku dengar tentang team "pencerahan" dan idea "pencerahan". Satu idea yang baik tapi pasai apa aku tak tau? Mungkin pasai aku bukan lagi orang muda, tapi heran AMK kawasan aku pun tak tau apa! Idea yang baik perlu diketengahkan. Keadilan memerlukan idea-idea 'beyond Anwar'. Tapi idea yang baik itu perlu disemai dan disebarkan. Kalau setakat berdiskusi didalam kelompok sendiri, macammana orang lain nak tau?" Sebagai rujukan blog Pak Khalid Jaafar

June 14, 2007

MEMALAYSIAKAN MELAYU?

Aku tertarik dengan teguran Saudara Mat Saman Kati melalui blog Saudara Anuar Mohd Nor (Arah Kita). Berbicara tentang bahasa dan bangsa.

Faizal,

Aku setuju dengan perkataan tolak ansur, tapi apa yang aku tak setuju ialah tolak ansur-ansur. Apa yang dilakukan oleh Umno hari ini ialah menolak secara ansur-ansur nilai-nilai Melayu demi kepentingan politik mereka.Ingat lagi tuntutan 17 perkara yang dikemukakan oleh Dong Jiao Zhong pada pilihanraya 1999 dulu? Aku tak kisah kalau Umno bagi apa yang orang Cina minta, tapi apakah dengan mengorbankan kepentingan Melayu? Tengoklah apa yang jadi pada orang Melayu hari ini. Anak-anak Melayu menguasai Universiti Serenti, penjara dan lebuhraya, Umno buat apa? Yang aku dengar ialah peruntukan untuk membina penjara dan pusat serenti ditambah dalam RMK9. Untuk siapa? Apabila aku menentang pertukaran Bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, ia tiada kena mengena dengan bahasa dan bangsa lain. Seperti kata Zaba, Orang Cina dan India tak kisah pun samaada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Jiwa Bangsa. Bahasa Melayu melambangkan jiwa Melayu. yang perlu ialah memartabatkan bahasa Melayu, bukan dengan melenyapkan perkataan Melayu.Kalau dulu, kita Sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Tamil, sekarang ni kita cuma ada sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Mana sekolah Melayu? Apabila sekolah Melayu ditukar menjadi kebangsaan, apakah orang Cina dan orang India akan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan? Tidak jugak!Kalau bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia, apakah orang Cina dan India akan bercakap dan menulis didalam bahasa Malaysia? Tidak jugak! Tengok dalam blog ni saja sudah lah. Walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, masih ramai yang tak tau menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Bangla dan Nepal pun pandai cakap melayu dari depa. Berkorban tak salah, tapi jangan sampai terkorban.

Aku cuma kecewa asbab isu ini dibangkitkan ia bisa mengguriskan bangsa bukan melayu. Secara langsung mahupun tak langsung meningkatkan lagi ketegangan antara kaum di Malaysia. Pada hemat aku adalah amat tidak adil untuk kita letakkan kesalahan pada bahu bangsa lain. Sedangkan bagi aku kesalahan adalah berpunca dari dasar yang pincang dan bermasalah. Ini belum lagi diambilkira dengan perlaksanaan dasar yang tempang. Komen ringkas aku cuma, dulu Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia, dulu sekolah melayu ditukar kepada sekolah kebangsaan (Sekolah Malaysia), kini bahasa Melayu ditukarkan kepada Bahasa Malaysia. Lepas ini aku agak Bangsa Melayu akan ditukar menjadi Bangsa Malaysia. Mungkin ada kebenarannya, cuba lihat Kad Pengenalan kita? Kalau zaman penjajahan Inggeris dahulu masih tertera Bangsa Melayu, tetapi dibawah penjajahan Melayu Baru. Kemanakah hilangnya perkataan Bangsa Melayu? Kini cuma yang tinggal hanya Agama dan Warganegara sahaja. Mungkin suatu hari nanti akan hilanglah perkataan Melayu pada orang melayu, yang tinggal hanya melayu pada kulitnya sahaja. Mungkin perkataan Melayu sendiri akan terpupus dalam diri melayu itu sendiri dan hanya akan tinggal sebagai mitos atau dalam kamus, suatu hari nanti...