June 24, 2007

KHALID JAAFAR MEMBICARAKAN ISU AA GYM, PENCERAHAN, IKD & ISLAM LIBERAL

Pertama ingin saya rakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Khalid Jaafar atas kesudian meluangkan masa untuk melayani persoalan-persoalan saya yang remeh bagi segelintir pihak tetapi tidak bagi saya. Mungkin saya tidak perlu mengulas jawapan yang terpancar daripada pandangan dan isihati Pak Khalid Jaafar. Secara jujurnya terdapat beberapa jawapan yang diberikan bisa menjana pemikiran saya ke arah satu dimensi pemikiran yang idealistik. Sejujurnya juga terdapat juga jawapan yang saya agak kurang bersetuju dengan beliau, walaubagaimanapun saya hormati prinsip dan pandangan beliau. Berikut saya lemparkan semula jawapan-jawapan yang diberikan oleh Pak Khalid Jaafar untuk diskusi minda bersama.


Saya memang tidak berminat dengan A A Gym. Kalau ada orang lain yang meminatinya, silakan. Kenapa saya tidak meminati kiyai itu: Pertama gerakannya merupakan gerakan populis yang tidak berteraskan ilmu. Mirip seperti al-Arqam dalam aspek "kultus peribadi". Dalam setiap produk yang dijual oleh gerakannya ada tertempel gambar kiyai itu. Beliau menjadikan dirinya sebagai selling point. Kedua: gerakan itu bersifat sentimental. Ambil saja konsep "manjemen qolbu" a.k.a MQ. Maka pendewa-pedewa beliau mengaktakan ini mengikut tasauf. Wacana-wacananya pada saya tampak dangkal. Tasauf yang saya pelajar dan diajarkan adalah jauh lebih mendalam. Kalbu bukan perasaan. Kalbu juga tempat akal atau intelek. Penghuraian lebih lanjut boleh dibaca dalam tulisan-tulisan al-Ghazali dan pengikut-pengikut al-Ghazali dirantau ini seperti Abdul Samad al-Falimbani. Saya menegaskan sifat ilmu kerana ilmu begitu ditegas dalam al-Qur'an. Kerana penegasan terhadap ilmu itulah Islam mencipta tamadun. Ceramah yang membuatkan pendengar-pendengarnya mengalir dan mengesat air mata - seperti yang selalu berlaku dalam A A Gym - tidak akan membina tamadun. Bukannya menangis kerana kesedaran dan taubat itu salah. Taubat itu bagus. Yang saya kritik adalah ketiadaan landasan ilmu. Tanpa kebangkitan ilmu tidak akan ada kebangkitan Islam yang sejati.

Jawapan 2: Pencerahan

Saya tidak mempelopori Pencerahan. Pencerahan itu terlalu besar untuk saya pelopori. Pencerahan dipelopori oleh pemikir-pemikir seperti Immanuel Kant, Voltaire, John Locke, David Hume dan lain-lain. Saya dan IKD sekadar memperkenalkannya kepada masyarakat Malaysia. Saya melakukan ini kerana saya berkeyakinan Pencerahan itu perlu diketahui masyarakat Malaysia yang berpendidikan. Rata-rata graduan universiti Malaysia tidak pernah mendengar istilah Pencerahan. Ini bukti kegagalan sistem pendidikan kerana mahasiswa yang tidak tahu Pencerahan tidak tahu asal usul zaman ini. Tanpa Pencerahan tidak akan ada apa yang disebut sebagai modeniti dan kita tidak akan mengerti dunia moden. Saya telah membuat penjelasan tentang Pencerahan dalam pengantar kepada risalah I Kant yang bertajuk Apa itu Pencerahan.

Apakah dengan mempopulerkan Pencerahan saya kebaratan? Antara penulis-penulis Melayu saya yang paling banyak menulis tentang Mahabharata, satu epik India, sehingga saya dituduh kehinduaan. Saya juga menulis tentang San Guo Yang Yik (Kisah Tiga Negara (epik Cina). Saya terlibat mempopularkan buku Ibn Rushd yang bertajuk Fasl al-Maqal sehingga membawa penterjemahannya ke Melayu. Saya dan rakan-rakan juga membedah otobiografi intelektual al-Ghazali yang bertajuk al-Munqiz min al-Dalal dan saya menggesa rakan-rakan meneroka pemikiran Ibn Arabi.

Kant adalah pemikir barat. Betul. Lawan atau kawan kita perlu memahami barat. Bagi saya carat untuk memahami barat bukan melalui kritikan S Qutb atau Hasan Nadwi tetapi melalui karya-karya pemikir-pemikir besarnya. Dan Kant adalah salah seorang pemikir barat yang terbesar dan pemikir terbesar Pencerahan.

Jawapan 3: IKD dan Islam Liberal

IKD tidak punya kiblat pemikiran. Bila sembahyang kiblat kami sama dengan kiblat semua umat Islam. Dalam satu satu persoalan kami mengikut pemikiran siapa yang lebih jitu. Dalam pemikiran politik saya dapat hujah liberal lebih mantap dan pengalaman sejarah juga beradalam di sebelah faham liberal. Saya mengikuti Ibn Arabi dalam metafizik, mengikuti Ibn Rushd dalam perdebatan antara golongan kalam dengan filasuf. Saya tidak akan menyelongkar kitab-kita Ibn Arabi atau Ibn Rushd, mahupun Ibn Sina atau al-Ghazali, apalagi ulamak semasa seperti Yusuf al-Qaradhawi untuk memahami persoalan asas politik. Bagaimana dengan falsafah politik Islam dan tokoh nyaseperti al-Farabi? Pendirian saya setakat ini, saya sedia merobahnya kalau ada hujah kukuh, falsafah politik Islam merupakan aspek pemikiran Islam yang paling lemah dan paling tidak original. Saya lebih suka melabur masa untuk menelaah dialog-dialog Plato dari tulisan politik politik al-Farabi.

IKD pendukung faham liberal. Islam Liberal tidak ada kaitan dengan faham liberal maka IKD tiada kaitan dengan Islam Liberal. Antara unsur penting dalam liberalisme adalah pasaran bebas dan pemerintahan terbatas. Setakat yang saya tahu dua aspek ini tidak diwacanakan oleh Islam Liberal. Islam Liberal mewacanakan kebebasan. Wacana kebebasan tidak cukup untuk menjadikan sesaorang itu liberal. Filasuf Perancis Jean-Paul Sartre membuat wacana kebebasan radikal namun beliau bukan seorang liberal dan tidak menyebut dirinya sebagai seorang liberal. Sartre adalah seorang Existentialis.

No comments:

Post a Comment