September 27, 2023

KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH - PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH

KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH - 

PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH 

Sejarah | Warisan | Perjuangan


Untuk maklumat lanjut. Boleh rujuk pada link dibawah :


August 25, 2016

PERANG PERAK 1875: DATO PANGLIMA KINTA NGAH JABOR, TOH SENONGSA SERI NARA WANGSA ITAM DEWI DAN KAMPUNG KEPAYANG (FAIR PARK, IPOH)



Pada 20 Julai 1875, Residen British Perak yang Pertama, James Wheeler Woodford (J.W.W.) Birch telah memaksa Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26) menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak akan lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut. 
Akhirnya J.W.W. Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambilalihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak. Inilah yang mencetuskan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan pembesar-pembesar Melayu Perak termasuk Menteri Ngah Ibrahim, Dato Panglima Kinta ke 7 Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor atau Toh Gemok), Dato Maharaja Lela ke 6 Pandak Lam, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor.
Setelah pembunuhan J.W.W Birch, berlakunya kebangkitan orang Melayu di Perak dan mereka berjaga di kawasan masing-masing, mereka telah bangkit hendak melawan British yang dianggap telah menakluki Perak terutamanya orang Melayu di Belanja ditempat Sultan Ismail (Sultan Perak ke 25), di Kinta tempat Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, di Kota Lama tempat Temenggong di Durian Sebatang tempat Laksamana Mohamad Amin dan di Kurau dibawah Penghulu Ali.
British menyerang Perak dan tercetusnya Perang Perak bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, tentera-tentera British yang ketika itu berbangsa punjab telah membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak. 
Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) bersama Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin dan pengikut-pengikutnya.
Merujuk pandangan Burns P. L. dalam Perak Enquiry Papers, menyatakan bahawa Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Dato Sagor Ngah Kamdin dan Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah penyokong kuat kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak manakala Laksamana Mohamad Amin bermusuh dengan Sultan Ismail, walaubagaimanapun Laksamana Mohamad Amin masih menyatakan sokongan kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak. 
Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk-penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan diketuai oleh kekandanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. 
Menurut C.N. Parkinson, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor merupakan kekanda kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam. Mereka berkongsi ibu yang sama iaitu Anjang Nih walaubagaimanapun mereka berbeza ayah. Ayah kepada Dato Panglima Kinta Ngah Jabor adalah Dato Panglima Kinta ke 5 Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor) manakala ayah kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah Dato Maharaja Lela ke 5 Tok Maulud.
Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya (Pedang Cura Si Manja Kini) ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut-pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. 
Tentera-tentera British dengan sekutu-sekutunya meredah hutan pergi ke Kinta untuk memburu Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. Sebaik sahaja tiba di Kinta, didapati Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah meninggalkan Kinta. British telah menerima maklumat  bahawa Sultan Ismail, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Raja Ngah Tengku Panglima Besar, Panglima Perang Semaun serta pengikut-pengikut mereka telah bertolak meninggalkan Kinta dengan angkatan bergajah. Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.
Pada 3 Mac 1875 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul J.W.W. Birch dengan pedang tetapi Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh J.W.W. Birch. Menurut Cik Gondah, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham. 
Pada 14 hingga 22 Disember 1876, Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Kulup Ali dan Si Tuah dimana hukuman mereka telah dipinda atas nasihat Raja Muda Yusuf kepada hukuman penjara seumur hidup di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor dibuang ke Pulau Sychelles manakala Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. 
Dato Panglima Kinta Ngah Jabor telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah kira-kira tujuh tahun dipenjara di Singapura (1877 hingga 1884). Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan berdekatan dengan Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang dimana ia terletak ditengah-tengah antara Makam (moyangnya) Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang dan Makam (datuknya) Dato Panglima ke 3, Toh Changkat Rembiah bin Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak.

Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Laksamana Mohamad Amin adalah berbesan, dimana anak lelaki beliau iaitu Kanda Jahid telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Laksamana Mohamad Amin yang bernama Ngah Teresah. Menurut dokumen Pejabat Tanah Kinta di Arkib Negara Malaysia, sebahagian daripada tanah wakaf di Kampung Kepayang termasuk Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang adalah di atas nama Ngah Teresah binti Laksamana Mohamad Amin dan Puteh Manjura binti Laksamana Mohamad Amin.
Kesan penglibatan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dalam pembunuhan J.W.W. Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Dato Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Dato Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang.

Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Dato Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Kampung Kepayang) dimansuhkan dalam Sistem Pemerintahan Monarki Kesultanan Melayu Perak. 
Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dalam pembunuhan J.W.W. Birch memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang. 
British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta yang dibuka pada tahun 1528 oleh Tun Kelalang bin Tun Saban Balik, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

Jurnal perjalanan jurutera perlombongan dan ahli geologi Perancis yang bernama Jacques de Morgan ada mencatatkan berkenaan pertemuaannya dengan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor pada 2 Ogos 1884 di Kelian Kinding, Hulu Kinta untuk meminta bantuan daripada Pembesar Kinta tersebut walaubagaimanapun Dato Panglima Kinta Ngah Jabor membalas, "Dahulu saya adalah Panglima Kinta. Selepas berperang bersama Sultan Ismail (dalam Perang Perak 1875 menentang British), orang putih telah memecat saya, malah mereka telah menyingkirkan saya sebagai Dato (kawasan) Hulu Kinta. Adalah benar bahawa saya menerima pencen, tetapi saya miliki terlalu banyak ketidakpuasan hati terhadap orang putih (sehingga saya tidak mampu) untuk cuba bersetuju dengan Residen (British). Sebenarnya saya akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya miliki untuk menghentikan rancangannya (Residen Bristih) dan (rancangan) kamu".

Sumber rujukan:

"Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa", susunan Fazil Suhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
"Jacques de Morgan's Explorations in the Malay Peninsular, 1884", susunan Andree Jaunay terbitan The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
"Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia", tulisan Dr. Adib Vincent Tung Abdullah terbitan Perak Academy.
"Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson terbitan The Federated Malay States Press.
"Kenali Kampung Kepayang", arahan Mukriz Mahader, terbitan Astro AWANI.
"Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak", tulisan Abdullah Zakaria Ghazali terbitan Yayasan Perak
"Kinta Valley: Pioneering Malaysia's Modern Development", tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis terbitan Perak Academy.
"The Journals of J.W.W. Birch", tulisan Burns P.L. terbitan Oxford University Press.
"Sejarah Malaysia: Wacana Kedaulatan Bangsa, Kenegaraan dan Kemerdekaan", tulisan Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin terbitan Universiti Sains Malaysia.
"Sejarah Perak", tulisan Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Particulars on the Royal Family and Chiefs in Perak", Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160".

August 21, 2012

PROJEK KEPAYANG

Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh merupakan satu-satunya Kampung Melayu Tradisional yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Ia merupakan satu perkampungan yang memiliki sejarah yang tersendiri dan sewajarnya dikekalkan sebagai satu warisan untuk generasi yang akan datang. Status tanah rizab Melayu yang dimilikinya dan juga kedudukannya yang terletak di kawasan yang amat strategik iaitu ditengah-tengah Bandar Raya Ipoh secara tidak langsung dapat memperlihatkan kelebihan dan keistimewaannya berbanding dengan kampung-kampung lain yang terdapat di Negeri Perak.

Walau bagaimanapun kelebihan dan keistimewaan yang terdapat dalam Kampung Kepayang tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sebaliknya ia dimanipulasikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang akhirnya mengakibatkan semakin hari semakin terhakis keluasan tanah Kampung Kepayang. Semakin hari Kampung Kepayang dirobek dan dihakis oleh golongan kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan tanpa memikirkan nilai warisan bangsa yang seharusnya dikekalkan.

Bukan sekadar tanahnya dihakis, malah sejarah Kampung Kepayang juga dicaca-merbakan sehingga menyebabkan anak-anak muda generasi baru terpinga-pinga dan tertanya-tanya sejarah dan asal-usulnya. Ada yang keliru dan ada juga yang langsung tidak tahu. Malah ada juga yang tidak bersedia untuk tahu dan tidak mahu tahu. Mungkinkah ini semua ini telah diatur oleh golongan tertentu agar ia menjadi sebegitu? Atau mungkin nilai-nilai keistimewaan Kampung Kepayang yang telah dirobek dan dihakis menyebabkan anak-anak muda tidak lagi berminat untuk tahu lantaran merasakan ia tidak bernilai dan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka?

Artikel ini pernah dipaparkan dalam FB Kepayang dan Continuallybebas

February 2, 2008

SATU LAMBANG BARISAN ALTERNATIF

Isu ini acapkali dibangkitkan dikalangan pendokong-pendokong Barisan Alternatif (BA) setiapkali pilihanraya mengunjung tiba. Sengaja ingin saya menyinggung cadangan ini kerana bagi saya ia telahpun diperhalusi oleh seluruh pimpinan BA tentang kebaikannya. Disini tidaklah ingin saya menjelaskan tentang kebaikan mahupun keburukan penggunaan satu lambang bagi BA dalam pilihanraya akan datang kerana telahpun diulas oleh pimpinan BA, yang telah jelas menerima idea ini sehinggakan usul ini telahpun dipersetujui oleh Majlis Presiden BA satu ketika dahulu dan seterusnya dibawa ke Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Memang kita sedia maklum bahawa cadangan tersebut terpaksa dibakulsampahkan dek kerna peraturan SPR yang menetapkan tujuh buah parti dalam sesuatu gabungan (yang merujuk kepada BA). Kita sedia maklum bahawa terdapat hanya dua parti komponen barisan alternatif iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS). Ini bermakna kita kekurangan lima buah parti dalam usaha membentuk pakatan rasmi yang diiktiraf oleh SPR dan seterusnya melayakkan penggunaan satu lambang bagi seluruh parti dalam BA.

Sebagai penyelesaian terhadap masalah ini saya mencadangkan dua formula yang bisa diaplikasi dalam menterjemahkan usaha "menyatulambangkan" BA dalam pilihanraya akan datang bagi mengelakkan kekeliruan, pembaziran tenaga, kewangan dan jentera terutamanya melibatkan urusan publisiti juga perang poster.

Formula yang pertama ialah BA yang kini terdiri daripada PKR dan PAS perlu memujuk Parti Tindakan Demokratik (DAP), untuk kembali bersama BA, sememangnya usaha ini amat sukar walaubagaimanapun saya percaya seandainya Dato' Seri Hadi Awang dapat menggunakan budibicara sepertimana yang dilakukan oleh mantan Presiden PAS, Allahyarham Dato' Fadhil Noor tidak mustahil DAP akan kembali berpayung dibawah BA.

Seandainya masih gagal, pakatan BA sewajarnya memujuk Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang baru dihidupkan semula, Parti Demokratik Malaysia (MDP) disamping dua buah parti pembangkang Borneo iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan beberapa parti yang mungkin saya terlepas pandang tentang kewujudannya antaranya Parti Demokratik Setiasehati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (SETIA) untuk bersama-sama menyertai BA. Dengan ini secara tidak langsung bisa menjumlahkan sekurang-kurangnya tujuh parti dalam komponen BA dan seterusnya melayakkan penubuhan BA secara rasmi dan diiktiraf oleh SPR untuk bertanding dalam satu lambang dalam pilihanraya 2008 yang akan datang.

Formula yang kedua, BA yang kini hanya terdiri daripada PAS dan PKR, mungkin perlu bertolakansur dimana hanya satu lambang daripada dua parti ini sahaja akan digunakan untuk mewakili BA dalam pilihanraya akan datang atau dengan kata lain, salahsatu parti perlu berkorban lambang untuk sementara waktu semata-mata dalam pilihanraya akan datang. Berikutan sifat PKR yang agak "Malaysia". Saya mencadangkan lambang PKR digunakan untuk mewakili BA. Ini bermakna semua calon BA sama ada daripada PAS, PKR mahupun proksi-proksi BA yang gagal mendapat kelulusan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) perlu menggunakan lambang PKR dalam pilihanraya akan datang bagi membuktikan kesatuan dan perpaduan dalam BA itu sendiri.

Kedua-dua formula ini adalah amat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan, walaubagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil dengan syarat kesemua parti-parti pembangkang atau parti komponen BA perlu mengorbankan keegoaan dan prinsip asas masing-masing dan meletakkan matlamat kemenangan dalam pilihanraya akan datang sebagai keutamaan dalam usaha membentuk Malaysia yang Baru sepertimana yang didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Penggunaan satu lambang ini amat penting dan bisa memperlihatkan perpaduan dikalangan komponen BA dan seterusnya melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Alternatif yang bakal dibentuk oleh BA kelak.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Tranungkite Online dan Marhaen

November 21, 2007

TUKAR SEGERA IRAMA LAGU KEBANGSAAN

Serangan terhadap lagu Negaraku, secara bertubi-tubi yang dimulakan dengan isu penciplakan irama lagu Mamula moon, kemudian isu "campak ke laut" antara penyanyi Hattan dan Ahli Parlimen Sri Gading, YB Dato' Haji Muhamad b. Haji Aziz dan terbaru kemunculan Negarakuku karya Namewee. Semua ini menimbulkan kesedaran dalam benak fikiran saya sehingga menyebabkan saya merasakan telah tiba masanya irama lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditukar dengan menggantikan irama baru yang diinspirasikan oleh komposer tempatan. Sengaja saya memanaskan semula isu ini yang kelihatan mulai sejuk dan membeku rentetan pejuang-pejuang muzik tempatan yang kepenatan dalam usaha memperjuangkan isu ini berikutan rasa kecewa kerana tidak mendapat layanan dan perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.

Saya mencadangkan agar irama lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku diberinafas baru disamping mengekalkan lirik asalnya. Saya dengan penuh yakin dengan kebolehan komposer tempatan merasakan adalah wajar tanggungjawab pengilhaman semula irama Negaraku diserahkan sepenuhnya kepada komposer-komposer tempatan dibawah kawalselia kerajaan. Saya secara peribadi merasakan ia merupakan satu keperluan yang mendesak supaya isu penciplakan ini yang dipelopori oleh pihak tertentu dapat dihentikan dan dibakulsampahkan. Kerajaan sewajarnya melayani isu ini dengan sewajarnya kerana ia kelihatan amat relavan dengan keadaan semasa. Isu ini juga telah menyebabkan maruah Malaysia tercemar berikutan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu yang sememangnya ada kebenaran dan asasnya.

Imbas semula sejarah lagu Negaraku, diilhamkan berdasarkan inspirasi lagu Kebesaran Negeri Perak. Lagu ini pada asalnya merupakan rentak sebuah lagu yang telah dicipta oleh penggubah Perancis, Pierre Jean De Beranger (1780-1857). Lagu ini diperkenalkan oleh sebuah pancaragam Perancis yang mengadakan persembahan di Pulau Mahe yang terletak dalam Kepulauan Seychelles. Raja Muda Perak, Raja Abdullah Muhammad Shah ibni Sultan Jaafar Safiuddin Muazam Shah yang telah dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles, telah memperkenalkan lagu yang diberinama Trang Bulan. Sekembali semula ke Negeri Perak, Raja Muda Raja Abdullah telah menulis senikata lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan yang disusunkan dengan irama lagu Trang Bulan dan kemudiannya menjadikannya sebagai lagu rasmi Negeri Perak. Irama lagu ini kemudiannya telah dipilih sebagai irama lagu kebangsaan Malaysia. Berikut saya sertakan beberapa klip video yang merujuk kepada perbandingan lagu Negaraku dengan lagu-lagu yang diciplaknya iaitu Mamula Moon, Terang Bulan dan Trang Bulan.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Tranungkite Online dan Marhean

September 11, 2007

ULANGTAHUN MALAYSIA 44 VS KEMERDEKAAN MALAYA 50

Isu ini muncul setelah saya mula membaca blog teman saya Ainisazreen yang bertemakan Hari Lahir Malaysia ke 50 dan blog Nurul Izzah Anwar juga miliki tema yang hampir sama. Seterusnya teringat saya tentang petikan kenyataan Dr. Jeffry Kitingan baru-baru ini mengisytiharkan Kemerdekaan Sabah yang ke 44 yang menimbulkan beberapa polemik. Seterusnya terdetik dibenak hati saya untuk bertemu dengan teman saya yang merupakan pensyarah subjek kenegaraan disalahsebuah universiti tempatan, untuk membicarakan tentang isu ini dan beliau menegaskan bahawa sejarah ulangtahun Malaysia yang ke 50 memiliki fakta dan dalam ertikata yang bisa saya tafsirkan dengan agak keras ialah boleh didefinisikan sebagai penyelewangan fakta.

Andainya Malaysia mengisytiharkan ulangtahunnya 50, maka secara tidak langsung sejarah Malaysia telah berubah seolah-olah Tanah Melayu (Malaya) telah menjajah Sabah dan Sarawak. Sedangkan jika sejarah disingkapi dengan lebih telus, pembentukan Malaysia terjadi hasil persefahaman dan persetujuan bersama antara Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu dan seterusnya secara bersama membentuk negara baru yang dinamakan Malaysia.

Malaysia bukan penukaran nama daripada Malaya ataupun Tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara baru hasil gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Sebagai tanda keramat membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak bukan dijajah oleh Tanah Melayu, maka pemimpin-pemimpin tempatan Sabah terdahulu sebagai contoh Donald Stephens (Tun Fuad) dan Datu Mustapha Datu Harun telah membuat perjanjian dimana hak keistimewaan Sabah harus dikekalkan melalui 20-point agreement bersama pimpinan Tanah Melayu (Malaya) iaitu Tunku Abdul Rahman yang juga penerajui kewujudan Persekutuan Malaysia. Atas dasar ini jugalah maka Sabah menerima penubuhan negara baru Malaysia bersama Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak. Oleh itu, tindakan kita menyambut ulangtahun ke 50, Malaysia adalah satu tindakan yang agak kurang bijak disamping memperlihatkan kekurangan ilmu kita berkenaan sejarah pembentukan negara kita sendiri, Malaysia. Tindakan ini sungguh mengecewakan jika dibiarkan berterusan tanpa pembetulan.

Jika benar kita mengiktiraf sejarah penubuhan negara kita yang sebenar-benarnya. Mungkin ada kewajaran untuk kita sama menantikan detik 16 September 2007 untuk kita sama-sama meraikan Ulangtahun Kelahiran Malaysia ke 44. Atau mungkin kita akan terus menjadi hamba kepada kepincangan fakta ini dan terus meraikannya tanpa merasa bersalah kepada diri sendiri apatah lagi kepada Malaysia yang kita sayangi. Sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita memperbaiki kesilapan ini agar kepincangan ini tidak diwarisi dan kita terus menjadi hamba kepada kepincangan fakta ini untuk selama-lamanya.

Artikel ini pernah dipaparkan oleh Malaysia-Today.net dan Laman Marhean.