September 27, 2023

KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH - PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH

KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH - 

PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH 

Sejarah | Warisan | Perjuangan


Untuk maklumat lanjut. Boleh rujuk pada link dibawah :



SEJARAH KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH :
PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH.

Pada sekitar tahun 1528, Tun Kelalang yang merupakan anak kepada Pemerintah Hulu Perak, Tun Saban Balik telah menyusur ke hilir Sungai Perak dan memasuki salahsebuah cabang sungainya iaitu Sungai Kinta lalu membuka sebuah petempatan yang dinamakan Kepayang dan seterusnya memerintah kawasan ini. Toh Pasir Panjang bin Tun Kelalang merupakan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang pertama menjadi penerus legasi pemerintahan Tun Kelalang di Kepayang.
Sultan Perak yang ke 2 iaitu Sultan Mansur Shah telah memperisterikan seorang anak kepada Ketua Orang Asli (Tok Batin - Suku Semang) di Kuala Kinta/Bandor dan dikurniakan anak yang bernama Toh Changkat Piatu yang juga dikenali sebagai Kulop Kinta. Toh Changkat Piatu berkahwin dengan anak kepada Ketua Orang Asli (Tok Batin - Suku Temiar) di Tanjung Rambutan/Tambun bernama Puteri Mazwin. Mereka dikurniakan anak yang bernama Toh Chandang yang diberi gelaran Maharaja Kinta oleh Sultan Perak yang ke 10, Sultan Muzaffar Shah II.
Perkahwinan antara keturunan Tun Kelalang dengan keturunan Sultan Mansur Shah membenihkan keturunan Panglima Kinta yang mewarisi jawatan Dato Panglima Kinta Bangsa DiRaja (Orang Besar Lapan) dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Orang Besar Enam Belas). Dato Panglima Kinta Bangsa DiRaja mewakili Sultan Perak memerintah Kinta dan dibantu oleh Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang mengetuai pentadbiran di Kepayang yang terletak di dalam Kinta.
Dahulunya Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Kinta. Penglibatan Dato Panglima Kinta ke 7, Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor) yang juga dikenali sebagai Toh Gemok dan kekandanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, Itam Dewi dalam pembunuhan Residen British Pertama di Perak, JWW Birch ketika Perang Perak 1875 menyebabkan status Kepayang sebagai Pusat Pemerintahan bagi Kinta seolah-olah dilenyapkan oleh British yang memerintah Perak selepas berakhirnya Perang Perak 1875.
Dato Panglima Kinta ke 7 Ngah Jabor yang juga merupakan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang yang terakhir telah dipenjarakan di Singapura (1877 hingga 1884) dan dibebaskan secara senyap oleh Sultan Perak yang ke 28, Sultan Idris Shah manakala kekandanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, Itam Dewi menerima hukuman buang negeri ke Johor bersama Sultan Perak yang ke 25, Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah. Selain itu, jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dimansuhkan dalam Sistem Pemerintahan Monarki Kesultanan Melayu Perak.
Makam Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak, Makam Dato Panglima ke 3 Toh Changkat Rembiah dan Makam Dato Panglima Kinta ke 7 Ngah Jabor terletak di Kampung Kepayang, Ipoh manakala Dato Panglima Kinta ke 5 Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor) tidak dapat dipastikan. Menurut sumber lisan, Ngah Gapor telah hilang ke kawasan air panas Tambun dipercayai mengahwini orang bunian, Puteri Bendang Air Hangat. Di dalam Gua Datuk hari ini masih ada sebuah kerusi yang menghadap kiblat dipercayai tempat Ngah Gapor datang berubat. Beliau hilang ketika upacara penyembuhan dilakukan oleh seorang pawang dalam sebuah balai. Ngah Gapor digelar Datuk Hilang Di Jalan.
Sumber rujukan utama:
"Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja", susunan Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
"Kepayang Kampung Bersejarah ", tulisan Mohamed Faizal Zainol terbitan bersama Pustaka Buku Warisan dan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
"Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia", tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy.
"Kenali Kampung Kepayang", arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
"Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson.
"Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak", tulisan Abdullah Zakaria Ghazali.
"Cempaka Sari - Sejarah Kesultanan Negeri Perak", tulisan Kolonel Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Basri.
Sumber lisan:
Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, Dato Ab. Wahab bin Dato Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta.

No comments:

Post a Comment