August 25, 2016

PERANG PERAK 1875: JWW BIRCH, PANGLIMA KINTA NGAH JABAR DAN KAMPUNG KEPAYANG

Pada 20 Julai 1875, Residen British di Perak, JWW Birch telah memaksa Sultan Abdullah menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut. Akhirnya JWW Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambilalihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah. Inilah yang mencetuskan pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan orang Melayu Perak termasuk pembesar jajahan Larut, Menteri Ngah Ibrahim, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar, Laksamana Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Makmor.


Akibat pembunuhan ini, British menyerang Perak dan tercetusnya ‘Perang Perak’ bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, British membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak. Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Maharaja Lela Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom. Tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang bersama Maharaja Lela Pandak Lam dan pengikut-pengikutnya.
Menurut sumber lisan, Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera British dan Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar dan diketuai oleh Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera British dan Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. Sultan Ismail telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.
Pada 3 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul JWW Birch dengan pedang tetapi Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh JWW Birch. Menurut Cik Gondah, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham. Pada 14 hingga 22 Disember 1876, Maharaja Lela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Panglima Kinta Toh Ngah Abdul Jaafar, Kulup Ali dan Si Tuah hukumannya dipenjarakan di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad dan Syahbandar Uda Mahamor dibuang ke Pulau Sychelles sementara Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. 

Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah enam tahun dipenjara di Singapura. Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk bagi mengelakkan dikesan oleh British. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan bersebelahan Masjid (Warisan) Kampung Kepayang. Kesan penglibatan beliau dalam pembunuhan JWW Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan (Kampung Kepayang) Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan (Kampung Paloh) Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan (Kampung Kepayang) Panglima Kinta Pasak Kepayang.
Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan (Kampung Paloh) Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Narawangsa dimansuhkan dalam struktur monarki Kesultanan Negeri Perak. Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar dan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi dalam pembunuhan JWW Birch, memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang. British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta dan dipercayai dibuka pada tahun 1520an oleh Tun Kelalang bin Tun Saban, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

Sumber rujukan utama:

"Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja", susunan Fazil Suhaimi Talib
"Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson
"Dokumentari Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Ngah Abdul Jaafar", arahan Faizal Zainol
"Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang", terbitan ContinuallyBebas
"Cempaka Sari - Sejarah Kesultanan Negeri Perak", tulisan Kolonel Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Basri.

No comments:

Post a Comment