August 25, 2016

PERANG PERAK 1875: DATO PANGLIMA KINTA NGAH JABOR, TOH SENONGSA SERI NARA WANGSA ITAM DEWI DAN KAMPUNG KEPAYANG (FAIR PARK, IPOH)



Pada 20 Julai 1875, Residen British Perak yang Pertama, James Wheeler Woodford (J.W.W.) Birch telah memaksa Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26) menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak akan lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut. 
Akhirnya J.W.W. Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambilalihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak. Inilah yang mencetuskan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan pembesar-pembesar Melayu Perak termasuk Menteri Ngah Ibrahim, Dato Panglima Kinta ke 7 Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor atau Toh Gemok), Dato Maharaja Lela ke 6 Pandak Lam, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor.
Setelah pembunuhan J.W.W Birch, berlakunya kebangkitan orang Melayu di Perak dan mereka berjaga di kawasan masing-masing, mereka telah bangkit hendak melawan British yang dianggap telah menakluki Perak terutamanya orang Melayu di Belanja ditempat Sultan Ismail (Sultan Perak ke 25), di Kinta tempat Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, di Kota Lama tempat Temenggong di Durian Sebatang tempat Laksamana Mohamad Amin dan di Kurau dibawah Penghulu Ali.
British menyerang Perak dan tercetusnya Perang Perak bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, tentera-tentera British yang ketika itu berbangsa punjab telah membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak. 
Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) bersama Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin dan pengikut-pengikutnya.
Merujuk pandangan Burns P. L. dalam Perak Enquiry Papers, menyatakan bahawa Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Dato Sagor Ngah Kamdin dan Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah penyokong kuat kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak manakala Laksamana Mohamad Amin bermusuh dengan Sultan Ismail, walaubagaimanapun Laksamana Mohamad Amin masih menyatakan sokongan kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak. 
Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk-penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan diketuai oleh kekandanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. 
Menurut C.N. Parkinson, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor merupakan kekanda kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam. Mereka berkongsi ibu yang sama iaitu Anjang Nih walaubagaimanapun mereka berbeza ayah. Ayah kepada Dato Panglima Kinta Ngah Jabor adalah Dato Panglima Kinta ke 5 Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor) manakala ayah kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah Dato Maharaja Lela ke 5 Tok Maulud.
Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya (Pedang Cura Si Manja Kini) ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut-pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. 
Tentera-tentera British dengan sekutu-sekutunya meredah hutan pergi ke Kinta untuk memburu Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. Sebaik sahaja tiba di Kinta, didapati Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah meninggalkan Kinta. British telah menerima maklumat  bahawa Sultan Ismail, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Raja Ngah Tengku Panglima Besar, Panglima Perang Semaun serta pengikut-pengikut mereka telah bertolak meninggalkan Kinta dengan angkatan bergajah. Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.
Pada 3 Mac 1875 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul J.W.W. Birch dengan pedang tetapi Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh J.W.W. Birch. Menurut Cik Gondah, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham. 
Pada 14 hingga 22 Disember 1876, Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Kulup Ali dan Si Tuah dimana hukuman mereka telah dipinda atas nasihat Raja Muda Yusuf kepada hukuman penjara seumur hidup di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor dibuang ke Pulau Sychelles manakala Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. 
Dato Panglima Kinta Ngah Jabor telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah kira-kira tujuh tahun dipenjara di Singapura (1877 hingga 1884). Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan berdekatan dengan Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang dimana ia terletak ditengah-tengah antara Makam (moyangnya) Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang dan Makam (datuknya) Dato Panglima ke 3, Toh Changkat Rembiah bin Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak.

Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Laksamana Mohamad Amin adalah berbesan, dimana anak lelaki beliau iaitu Kanda Jahid telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Laksamana Mohamad Amin yang bernama Ngah Teresah. Menurut dokumen Pejabat Tanah Kinta di Arkib Negara Malaysia, sebahagian daripada tanah wakaf di Kampung Kepayang termasuk Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang adalah di atas nama Ngah Teresah binti Laksamana Mohamad Amin dan Puteh Manjura binti Laksamana Mohamad Amin.
Kesan penglibatan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dalam pembunuhan J.W.W. Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Dato Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Dato Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang.

Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Dato Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Kampung Kepayang) dimansuhkan dalam Sistem Pemerintahan Monarki Kesultanan Melayu Perak. 
Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dalam pembunuhan J.W.W. Birch memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang. 
British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta yang dibuka pada tahun 1528 oleh Tun Kelalang bin Tun Saban Balik, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

Jurnal perjalanan jurutera perlombongan dan ahli geologi Perancis yang bernama Jacques de Morgan ada mencatatkan berkenaan pertemuaannya dengan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor pada 2 Ogos 1884 di Kelian Kinding, Hulu Kinta untuk meminta bantuan daripada Pembesar Kinta tersebut walaubagaimanapun Dato Panglima Kinta Ngah Jabor membalas, "Dahulu saya adalah Panglima Kinta. Selepas berperang bersama Sultan Ismail (dalam Perang Perak 1875 menentang British), orang putih telah memecat saya, malah mereka telah menyingkirkan saya sebagai Dato (kawasan) Hulu Kinta. Adalah benar bahawa saya menerima pencen, tetapi saya miliki terlalu banyak ketidakpuasan hati terhadap orang putih (sehingga saya tidak mampu) untuk cuba bersetuju dengan Residen (British). Sebenarnya saya akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya miliki untuk menghentikan rancangannya (Residen Bristih) dan (rancangan) kamu".

Sumber rujukan:

"Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa", susunan Fazil Suhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
"Jacques de Morgan's Explorations in the Malay Peninsular, 1884", susunan Andree Jaunay terbitan The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
"Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia", tulisan Dr. Adib Vincent Tung Abdullah terbitan Perak Academy.
"Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson terbitan The Federated Malay States Press.
"Kenali Kampung Kepayang", arahan Mukriz Mahader, terbitan Astro AWANI.
"Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak", tulisan Abdullah Zakaria Ghazali terbitan Yayasan Perak
"Kinta Valley: Pioneering Malaysia's Modern Development", tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis terbitan Perak Academy.
"The Journals of J.W.W. Birch", tulisan Burns P.L. terbitan Oxford University Press.
"Sejarah Malaysia: Wacana Kedaulatan Bangsa, Kenegaraan dan Kemerdekaan", tulisan Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin terbitan Universiti Sains Malaysia.
"Sejarah Perak", tulisan Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Particulars on the Royal Family and Chiefs in Perak", Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160".

10 comments:

  1. as salam en.faizal...sy adalah ank saudara kepada mukhtar mahmud..iaitu bekas ketua kg kepayang fair park...sy nak tahu en.faizal dr keturunan panglima kinta yg mn yer...maaf sy bkn nak biadap...sbb sy tgh mencari sedara mara sy...sy ada terima salsilah keluarga dan asal susur galur sy yg dtg dr tok changkat rembia...disini sertakan salsilah keturunan sy..

    ReplyDelete
  2. wassalam,

    terima kasih atas kesudian untuk komen di sini. ya.. saya juga ada kaitan dgn toh changkat rembiah.. untuk maklumat lanjut, mohon layari www.facebook.com/groups/persatuanketurunanpanglimakinta

    ReplyDelete
  3. Perkongsian yg menarik

    ReplyDelete
  4. Salam tuan, saya dari Astro AWANI. Saya sedang dalam proses untuk membikin sebuah dokumentari mengenai Kampung Kepayang dan saya ingin berjumpa dan menemubual bersama Tuan untuk mengetahui lebih mengenai Kampung Kepayang. Harap maklum balas tuan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas kesudian tuan membikin dokumentari tentang kampung kepayang.
      Alhamdulillah, temubual berjalan dengan lancar. Semoga usaha murni ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkaitan terutamanya Kerajaan Negeri Perak

      Delete
  5. Tahukah anda di tengah-tengah bandaraya Ipoh, terdapat sebuah kampung lama yang sudah wujud hampir 500 tahun? Kenali Kampung Kepayang bersama Mukriz Mahader [ @mukrizmahader ] akan dalami cerita-cerita menarik mengenai kampung tradisi ini yang berkait rapat dengan pemerintah Daerah Kinta yang juga terlibat dalam Perang Perak 1875.

    #AstroAWANI
    #SejarahDaerahKinta
    #SejarahBandarayaIpoh
    #SejarahKampungKepayang

    https://www.facebook.com/11726505964/posts/10156475745125965/

    ReplyDelete
  6. Artikel ini turut dipaparkan dalam OrangPerak.com rujuk link dibawah:

    https://www.orangperak.com/ngah-jabor-dato-panglima-kinta-ke-7-dalam-perang-perak-1875.html

    ReplyDelete
  7. Masa pemerintahan sultan yusof 1 yg membangunkan ipoh ini

    ReplyDelete
  8. Boleh dapatkan maklumat lanjut tentang kisah ini dalam FB Kampung Kepayang https://www.facebook.com/groups/kampungkepayang

    ReplyDelete