June 21, 2007

IDEA PENCERAHAN BAKAL MENCERAHKAN PARTI KEADILAN RAKYAT?

Aku sedang menantikan jawapan daripada Pak Khalid Jaafar tentang isu Idea Pencerahan atau Enlightenment, semestinya bukan aku seorang sahaja tertanya-tanya. Persoalan, apa itu pencerahan? apa itu Islam Pencerahan (Tanwiri)? Ada juga aku berbincang panjanglebar berkenaan isu ini bersama Saudara Fathi Aris Omar melalui ruangan komen!

Teringat aku kepada kata-kata Mat Saman Kati dalam blog aku, "Baru ini aku dengar tentang team "pencerahan" dan idea "pencerahan". Satu idea yang baik tapi pasai apa aku tak tau? Mungkin pasai aku bukan lagi orang muda, tapi heran AMK kawasan aku pun tak tau apa! Idea yang baik perlu diketengahkan. Keadilan memerlukan idea-idea 'beyond Anwar'. Tapi idea yang baik itu perlu disemai dan disebarkan. Kalau setakat berdiskusi didalam kelompok sendiri, macammana orang lain nak tau?" Sebagai rujukan blog Pak Khalid Jaafar

8 comments:

  1. Tentang "Islam Tanwiri", saya serahkan kepada Pak Khalid. Mungkin jawapannya lebih bernas dan tajam daripada saya. Elok kita hadapkan kepadanya. Saya hanya "tukang tambah" kemudian.

    Tentang "Tim Pencerahan" yang didukung oleh Hasmi Hashim sewaktu berkempen untuk jawatan Ketua AMK PKR, isi-isi perincinya boleh dirujuk langsung pada beliau.

    Saya hanya pelajar Pencerahan Eropah, yang berasa senang dengan rasionaliti dan liberalisme. Maka, saya menjawab dari sisi tersebut.

    Pencerahan, selain disebut Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), juga disebut "Age of Reason" (Zaman Akal) -- selalunya pula dipertentangkan dengan "Age of Faith" (Zaman Akidah).

    Untuk makluman, Anwar Ibrahim yang kini penasihat PKR menulis buku Asian Renaissance atau edisi Melayunya "Kebangkitan Asia".

    Anwar, dalam buku itu, tidak bersetuju atau meragui Zaman Pencerahan. Pak Khalid, setakat saya tahu, kurang senang dengan edisi Pencerahan Perancis yang membuahkan Revolusi 1789.

    Pak Khalid mungkin lebih senang dengan Pencerahan Scotland (Scottish Enlightenment) atau Pencerahan Inggeris yang bermula dengan "Revolusi Gemilang".

    Kedua-dua tokoh ini orang agama, selesa dengan dimensi agama pada Pencerahan. Seolah-olah tanpa agama, Pencerahan tidak sempurna atau gagal menjadi suatu projek politik --- yakni pemerataan idealisme kepada massa.

    Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), antara penggiatnya Hasmi Hashim, tidak takut dengan Pencerahan edisi Perancis --- walau itu tidak bermakna mereka tidak kritis melihat pergolakan zaman tersebut.

    Saya sebagai seorang lagi penggiat KsJT melihat Zaman Pencerahan sebagai satu sandaran lanskap politik, filsafat, budaya, sains, ekonomi yang menakrifkan zaman itu.

    Rasionaliti dan rasionalisme (dalam dimensi agama, politik, seni, filsafat, sains dan ekonomi) menjadi tanda atau "bahasa tunggal" Zaman Pencerahan. Zaman inilah yang menjadi "penanda aras" perkataan "modern" atau "modernity".

    Jadi, sewaktu kita mengungkap perkataan "moden", kita terlupa bahawa ia bermaksud zaman, sikap dan tindakan yang menggunakan akal, hujah, kajian, perancangan, analisis, ilmu pengetahuan, dan juga mungkin -- pemisahan daripada dongeng, tradisi, kongkongan politik, kekangan agama, kawalan moraliti yang songsang.

    Dengan erti "moden", semua perkara haruslah disuluh dengan akal, dengan ilmu pengetahuan, dengan hujah serta analisis, dengan kajian teks dan maklumat.

    Agama yang dihayati harus berlandaskan tradisi ilmu, akal, kajian sosio-budaya, keberkaitannya dengan keperluan masyarakat/nilai sezaman.

    Seni budaya -- dalam arus moden -- harus juga disuluh dengan sikap tersebut. Begitu juga wacana politik.

    Jadi, mazhab Pencerahan umumnya individu yang mengambil sikap dan menghayati tabiat berfikir, berhujah, membaca, mengkaji, berperancangan.

    Beberapa ciri lain yang menambah maksud "moden" termasuklah individualisme, kapitalisme, liberalisme, selain rasionalisme.

    Bagaimanapun, dalam kajian KsJT dan Pak Khalid, kita tidak terpukau untuk memindahkan bulat-bulat Zaman Pencerahan Eropah ke sini, ke Malaysia dalam masyarakat Melayu/Muslim atau bukan Melayu/Muslim.

    Kita menuntut kajian mendalam dan "sintesis baru", antaranya, hasil renungan mendalam tentang "Semangat Zaman" ini, atau zeitgeist, agar terus berlandaskan nilai akal, ilmu, kajian, perancangan, kebebasan berfikir.

    KsJT, sebagai kumpulan yang dekat dan menerima tempias hebat Era Reformasi 1998 di negara kita menakrifkan krisis politik-kenegaraan tersebut sebagai "krisis kebudayaan" atau "krisis pemikiran", bukan "ketegangan politik" semata-mata, bukan sekadar persaingan dua kem dalam Umno/negara antara Mahathir dan Anwar sahaja.

    Lihat suatu cakupan ringkas persoalan ini di blog saya di pautan ini: http://patahbalek.blogspot.com/2007/06/siapa-mahu-ke-mana.html

    Buku-buku yang cuba menyerapkan semangat baru dalam era Reformasi ditulis oleh Pak Khalid (Tumit Achilles), saya sendiri (Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi) dan Hishamuddin Rais (Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya).

    Ketiga-tiga buku ini bukan sahaja lambang tiga penulis tetapi tanda-tanda penafsiran berbeza mengikut pendekatan penulis (aliran atau ideologi masing-masing) bersama masa yang bergerak.

    Maksud saya begini. Pak Khalid dan Isham Rais, oleh kerana jarak umur mereka tidak jauh berbeza (satu generasi), berkongsi banyak pengalaman bersama. Tidak seperti saya, yang 12 tahun lebih muda daripada Pak Khalid (yang beberapa tahun lebih muda daripada Isham).

    Tetapi dari segi ideologinya, Pak Khalid aliran liberal & Islamis, sedangkan Isham pula Marxisme atau aliran kiri. Saya, melalui aktivisme dan aliran, lebih dekat dengan Pak Khalid.

    Isham dan Pak Khalid kedua-duanya teman dekat saya, sekali gus "mentor" yang ghairah berhujah dan menganalisis perkembangan semasa.

    Itu perbezaan aliran atau ideologi. Dari segi perjalanan masa pula, buku Isham Rais cerminan kritik dan renungannya dalam tahun-tahun 2000 hingga awal 2001 (sebelum ditahan bawah ISA).

    Pak Khalid pula tahun-tahun 2001 hingga 2002 (sehingga akhbar Berita Keadilan tidak lagi beroperasi). Buku Patah Balek saya pula renungan, hasil kritikan, debat dan analisis kawan2 KsJT antara 2002 (tengah) hingga 2004 (awal).

    Sebab itu, bagi teman-teman KsJT, ketiga-tiga buku ini penanda aras intelektualiti dan isu-isu negara yang diangkat secara serius oleh tiga aktivis dan pemikir Gerakan Reformasi 1998.

    Kalau ditanyakan kepada saya, saya akan katakan cakupan Patah Balek lebih luas, mendalam, dan berterus-terang berbanding dua lagi buku kerana Isham dan Pak Khalid sewaktu menulis buku masing-masing adalah dua penggiat politik dan ahli politik.

    Ada beberapa persoalan tidak dituliskan dengan terus-terang, tidak seperti terus-terangnya saya yang lebih muda, tanpa beban politik, tanpa perlu meraikan strategi atau kumpulan Reformasi, maka berjaya mengungkapkan "kejujuran" yang "lebih tinggi" berbanding Tumit Achilles atau Pilihan Raya @ Pilihan Jalan Raya.

    Hasmi Hashim, sebagai teman saya dalam KsJT (dan juga di rumah), sangat rapat dengan Isham dan Pak Khalid. Hasmi dekat dengan kritik dan analisis kiri Marxime Isham dan sekali gus dekat pula dengan kritik liberalisme-Islamik Pak Khalid.

    Sebagai aktivis lebih muda (8 tahun lebih muda daripada saya) yang terjun langsung dalam Gelombang Reformasi 1998, Hasmi melaungkan "Pencerahan" dalam PKR dengan semangat yang diolah kembali daripada tiga penulis tersebut.

    Jika tidak salah ingatan saya, Hasmi menguasai perbahasan dan pengolahan ketiga-tiga buku tersebut dan turut mempunyai sisi-sisi pandang sendiri dalam persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Isham, Pak Khalid dan saya.

    Selain belajar daripada Patah Balek, Hasmi juga guru dan teman saya yang tajam kritik dan analsisnya yang memungkinkan saya mencerna minggu demi minggu kolum "Tiada Noktah" (di Malaysiakini.com) sehingga lahirlah "Patah Balek" -- yang dibantu teman2 lain seperti MR Mustaqeem dan Amir Sari.

    Kami bukan ahli falsafah, pakar teori atau ulat buku. Kami juga penulis, penerbit, penggerak diskusi, tukang kempen dan "kaki demo".

    Kami, maksud saya KsJT, mahukan perubahan politik, reformasi bangsa dan islah negara ini tetapi mengambil pendekatan ilmu, buku dan analisis melalui idealisme "Masparti" atau "massa politik tanpa parti".

    Sesiapa yang meyakini jalan ini, marilah berjalan bersama-sama kami .... faomar@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Saudara Fathi Aris Omar,

    Saya telah baca huraian saudara, mungkin idea komentar saya agak membatu dan kaku sejak kebelakangan ini menyebabkan saya gagal merespon huraian saudara sebaikmungkin dan seawalmungkin.

    Cuma saya agak tertarik dengan kenyataan saudara yang menyatakan bahasa DS Anwar Ibrahim agak meragui Idea Pencerahan (terutamanya apabila idea pencerahan disadurkan dengan Islam) memunculkan istilah baru iaitu Islam Tanwiri atau Islam Pencerahan.

    Mungkin DS Anwar Ibrahim agak ragu dengan pencerahan, ditambahkan lagi dgn idea Islam Pencerahan. Bagi saya mungkin bukan kerana beliau tidak memahami rasional konsep pencerahan ini tetapi Mungkin beliau lebih awal merasakan atau meng"HIDU" kesan-kesan "ISTILAH", penggunaan ISLAM PENCERAHAN. Yang mungkin akan dijadikan isu oleh pihak-pihak tertentu untuk memperlekehkan idea ini sepertimana yang telah berlaku pada Konsep Islam Hadhari.

    Atau mungkin beliau (DS Anwar) lebih selesa dengan konsep Masyarakat Madani yang beliau ilham dan perjuangankan!

    ReplyDelete
  4. Tidak tahu. Sewaktu DS Anwar menampakkan sikap penolakannya pada Pencerahan, waktu itu 1998. Jadi belum muncul idea "Islam Tanwiri" (mula dikembangkan antara 2003-2005).

    Jadi saya tidak tahu reaksinya.

    Dalam jawapan saya di atas, saya sebut DS Anwar tidak selesa atau cuba meminggirkan Pencerahan --- mungkin bersandarkan pembacaannya pada kritik pada era tersebut, sesuatu yang tidak mengejutkan saya.

    Dalam siri kritik terhadap Pencerahan, sementelah lagi DS Anwar ingin merumuskan insan Asia sebagai "insan yang beragama", saya nampak beliau melakukan dua kali kesilapan.

    Pertama, penolakan yang tidak teliti pada Pencerahan walau beliau menerima pemodenan sebagai landas zaman kebangkitan Asia.

    Kedua, kegopohannya untuk menyatakan, dalam tradisinya, "insan Asia" itu "manusia beragama."

    Saya sedar adanya penolakan, kritikan keras, sindiran dan penafian Zaman Pencerahan. Banyak buku, idea, mazhab berfikir dan tokoh yang mengupasnya.

    Tetapi, tiada sesiapa yang boleh menafikan terdapat sisi-sisi menarik, penting dan mendasar dalam Pencerahan itu sendiri.

    Sewaktu kami menganjurkan kajian tentang Pencerahan, kami sangat sedar tentang kritik itu. Termasuk antaranya kritik Friedrich A. Hayek dalam bukunya "Counter-Revolution of Science: Studies on Abuse of Reason" yang saya selalu sarankan dibaca oleh anak-anak muda.

    Kami tidak hairan dengan kecacatan, penyimpangan, kelemahan atau kelompongan idea seseorang tokoh atau sesuatu mazhab berfikir.

    Yang kami utamakan, sewaktu mengkajinya, kefahaman yang mendalam tentang idea, falsafah dan aliran berfikir tersebut.

    Jadi, begitulah pendekatan tentang Pencerahan, Marxisme, positivisme, mazhab Frankfurt, Karl Popper dan DS Anwar sendiri.

    Di pihak kami, label yang diletakkan selepas kata Islam seperti "Islam Hadhari", "Islam kiri", "Islam pasca-tradisional", "Islam feminis" atau "Islam progresif" tidak menakutkan kami.

    Kami tidak tersilau dengan label-label, kami cuba mencari inti patinya, menghargainya dan sekali gus melakukan kritik terhadapnya.

    Bagaimanapun, tidaklah pula bermakna kami hanya mengejar "isi" tanpa mempedulikan "kulit" atau label tetapi kami tidak mahu bertekak panjang tentang hal-hal semantik. Yang utama, menggali isi-isi atau pokok-pokok ajaran, model-model berfikir dan ... apakah sumbangannya (kebaikan/keburukan) yang boleh kita pelajari/teladani daripada idea-idea mereka.

    Lagipun, kegiatan berdiskusi untuk memahami bidang-bidang pengetahuan ini akan mengasahkan bakat akal kita untuk terus cergas dan bernas agar ia (akal kita) boleh menerobos ke dasar-dasar persoalan bangsa/negara kita sendiri.

    Saya fikir, Sdr belum membaca ketiga-tiga buku yang saya sebutkan di atas, termasuk Patah Balek.

    Sangatlah sulit untuk berpijak dalam perbahasan kita ini jika Sdr belum membacanya...

    Sdr meletakkan nama blog "Evaluasi Reformasi" sewaktu Sdr belum meneliti bahan-bahan tentang Zaman tersebut yang telah cuba diterokai oleh macam-macam orang, termasuk Rustam A Sani dalam bukunya "Menjelang Reformasi" (koleksi artikel sebelum September 1998).

    ReplyDelete
  5. Aku tertarik dengan tajuk "Idea Pencerahan Bakal Mencerahkan Parti Keadilan Rakyat", dan isinya pula dikaitkan dengan "Islam Pencerahan (Tanwiri).

    Terus terang, aku tak tau hujung pangkal tentang Islam Tanwiri dan aku kurang berminat untuk mengetahui.(bukan menolak!).

    Lebih kurang dua tahun lepas, aku menghadiri Ikatan Diskusi Idelisma Masyarakat Madani yang dianjurkan oleh IPSI (PKR). Sekali itu saja aku pergi, lepas tu, tak mahu dah. Sebabnya, terlalu Islamik.Seolah-olah aku pergi majlis PAS. Kehadiran ahli-ahli bukan Islam, tak sampai 5 orang, tu pun, tengah jalan semua cabut.

    Balik kepada tajuk, Idea Pencerahan mungkin akan mencerahkan PKR, tapi kalau disebut Islam Pencerahan, akan menggelapkan PKR. So, back to the square one. Apa ada pada nama? Kalau dalam parti berbilang kaum, (pasai apa tak sebut parti bangsa Malaysia, ye?) kita nak bawa idea berasaskan sesuatu ugama, macam mana nak jual? Kalau setakat nak berborak, OK. Tapi kalau nak dijadikan pegangan oleh semua ahli, aku salah seorang yang tak mahu beli.

    ReplyDelete
  6. Saudara Fathi Aris Omar,

    "Buku-buku yang cuba menyerapkan semangat baru dalam era Reformasi ditulis oleh Pak Khalid (Tumit Achilles), saya sendiri (Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi) dan Hishamuddin Rais (Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya).".

    Insya Allah, saya akan cuba dapatkan buku2 tersebut dan membacanya. Terima kaseh atas ulasan saudara! Mungkin penerangan saudara bisa merangsang idea dan minda saya untuk terus mengkaji dan mendalami persoalan-persoalan "berat" ini terutamanya bagi saya yang "telah lama bergelumang dgn dunia kejuruteraan".

    Saudara Mat Saman Kati,

    Mungkin saudara kurang berminat membicara tentang teori? Mungkin saudara lebih bisa membicarakan tentang emosi atau aplikasi mahupun penterjemahan dalam tindakan?

    Saya masih sedang dan terus mencari jawapan disebalik persoalan! Mungkin saudara boleh melontar pandangan pro dan kontra tentang isu ini.

    ReplyDelete
  7. Bukan aku tak minat, tapi aku tak boleh nak melibatkan diri secara serius. Anak bini aku kena suap juga, dan kalau nak menumpukan kepala aku kat sini, alamat dapur tak berasap lah.

    Ya, aku lebih berminat tentang bagaimana teori itu boleh dipraktikkan.

    ReplyDelete
  8. saudara link blog url saya yang salah.

    :)

    ReplyDelete