September 27, 2023

KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH - PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH

KEPAYANG KAMPUNG BERSEJARAH - 

PETEMPATAN MELAYU PERTAMA DI DALAM BANDARAYA IPOH 

Sejarah | Warisan | Perjuangan


Untuk tempahan boleh rujuk pada link dibawah :

August 25, 2016

PERANG PERAK 1875: DATO PANGLIMA KINTA NGAH JABOR, TOH SENONGSA SERI NARA WANGSA ITAM DEWI DAN KAMPUNG KEPAYANG (FAIR PARK, IPOH)



Pada 20 Julai 1875, Residen British Perak yang Pertama, James Wheeler Woodford (J.W.W.) Birch telah memaksa Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26) menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak akan lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut. 
Akhirnya J.W.W. Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambilalihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak. Inilah yang mencetuskan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan pembesar-pembesar Melayu Perak termasuk Menteri Ngah Ibrahim, Dato Panglima Kinta ke 7 Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor atau Toh Gemok), Dato Maharaja Lela ke 6 Pandak Lam, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor.
Setelah pembunuhan J.W.W Birch, berlakunya kebangkitan orang Melayu di Perak dan mereka berjaga di kawasan masing-masing, mereka telah bangkit hendak melawan British yang dianggap telah menakluki Perak terutamanya orang Melayu di Belanja ditempat Sultan Ismail (Sultan Perak ke 25), di Kinta tempat Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, di Kota Lama tempat Temenggong di Durian Sebatang tempat Laksamana Mohamad Amin dan di Kurau dibawah Penghulu Ali.
British menyerang Perak dan tercetusnya Perang Perak bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, tentera-tentera British yang ketika itu berbangsa punjab telah membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak. 
Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) bersama Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin dan pengikut-pengikutnya.
Merujuk pandangan Burns P. L. dalam Perak Enquiry Papers, menyatakan bahawa Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Dato Sagor Ngah Kamdin dan Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah penyokong kuat kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak manakala Laksamana Mohamad Amin bermusuh dengan Sultan Ismail, walaubagaimanapun Laksamana Mohamad Amin masih menyatakan sokongan kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak. 
Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk-penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan diketuai oleh kekandanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. 
Menurut C.N. Parkinson, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor merupakan kekanda kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam. Mereka berkongsi ibu yang sama iaitu Anjang Nih walaubagaimanapun mereka berbeza ayah. Ayah kepada Dato Panglima Kinta Ngah Jabor adalah Dato Panglima Kinta ke 5 Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor) manakala ayah kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah Dato Maharaja Lela ke 5 Tok Maulud.
Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya (Pedang Cura Si Manja Kini) ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut-pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. 
Tentera-tentera British dengan sekutu-sekutunya meredah hutan pergi ke Kinta untuk memburu Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. Sebaik sahaja tiba di Kinta, didapati Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah meninggalkan Kinta. British telah menerima maklumat  bahawa Sultan Ismail, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Raja Ngah Tengku Panglima Besar, Panglima Perang Semaun serta pengikut-pengikut mereka telah bertolak meninggalkan Kinta dengan angkatan bergajah. Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.
Pada 3 Mac 1875 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul J.W.W. Birch dengan pedang tetapi Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh J.W.W. Birch. Menurut Cik Gondah, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham. 
Pada 14 hingga 22 Disember 1876, Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Kulup Ali dan Si Tuah dimana hukuman mereka telah dipinda atas nasihat Raja Muda Yusuf kepada hukuman penjara seumur hidup di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor dibuang ke Pulau Sychelles manakala Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. 
Dato Panglima Kinta Ngah Jabor telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah kira-kira tujuh tahun dipenjara di Singapura (1877 hingga 1884). Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan berdekatan dengan Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang dimana ia terletak ditengah-tengah antara Makam (moyangnya) Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang dan Makam (datuknya) Dato Panglima ke 3, Toh Changkat Rembiah bin Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak.

Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Laksamana Mohamad Amin adalah berbesan, dimana anak lelaki beliau iaitu Kanda Jahid telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Laksamana Mohamad Amin yang bernama Ngah Teresah. Menurut dokumen Pejabat Tanah Kinta di Arkib Negara Malaysia, sebahagian daripada tanah wakaf di Kampung Kepayang termasuk Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang adalah di atas nama Ngah Teresah binti Laksamana Mohamad Amin dan Puteh Manjura binti Laksamana Mohamad Amin.
Kesan penglibatan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dalam pembunuhan J.W.W. Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Dato Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Dato Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang.

Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Dato Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Kampung Kepayang) dimansuhkan dalam Sistem Pemerintahan Monarki Kesultanan Melayu Perak. 
Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dalam pembunuhan J.W.W. Birch memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang. 
British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta yang dibuka pada tahun 1528 oleh Tun Kelalang bin Tun Saban Balik, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

Jurnal perjalanan jurutera perlombongan dan ahli geologi Perancis yang bernama Jacques de Morgan ada mencatatkan berkenaan pertemuaannya dengan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor pada 2 Ogos 1884 di Kelian Kinding, Hulu Kinta untuk meminta bantuan daripada Pembesar Kinta tersebut walaubagaimanapun Dato Panglima Kinta Ngah Jabor membalas, "Dahulu saya adalah Panglima Kinta. Selepas berperang bersama Sultan Ismail (dalam Perang Perak 1875 menentang British), orang putih telah memecat saya, malah mereka telah menyingkirkan saya sebagai Dato (kawasan) Hulu Kinta. Adalah benar bahawa saya menerima pencen, tetapi saya miliki terlalu banyak ketidakpuasan hati terhadap orang putih (sehingga saya tidak mampu) untuk cuba bersetuju dengan Residen (British). Sebenarnya saya akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya miliki untuk menghentikan rancangannya (Residen Bristih) dan (rancangan) kamu".

Sumber rujukan:

"Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa", susunan Fazil Suhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
"Jacques de Morgan's Explorations in the Malay Peninsular, 1884", susunan Andree Jaunay terbitan The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
"Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia", tulisan Dr. Adib Vincent Tung Abdullah terbitan Perak Academy.
"Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson terbitan The Federated Malay States Press.
"Kenali Kampung Kepayang", arahan Mukriz Mahader, terbitan Astro AWANI.
"Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak", tulisan Abdullah Zakaria Ghazali terbitan Yayasan Perak
"Kinta Valley: Pioneering Malaysia's Modern Development", tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis terbitan Perak Academy.
"The Journals of J.W.W. Birch", tulisan Burns P.L. terbitan Oxford University Press.
"Sejarah Malaysia: Wacana Kedaulatan Bangsa, Kenegaraan dan Kemerdekaan", tulisan Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin terbitan Universiti Sains Malaysia.
"Sejarah Perak", tulisan Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Particulars on the Royal Family and Chiefs in Perak", Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160".

August 21, 2012

PROJEK KEPAYANG

Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh merupakan satu-satunya Kampung Melayu Tradisional yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Ia merupakan satu perkampungan yang memiliki sejarah yang tersendiri dan sewajarnya dikekalkan sebagai satu warisan untuk generasi yang akan datang. Status tanah rizab Melayu yang dimilikinya dan juga kedudukannya yang terletak di kawasan yang amat strategik iaitu ditengah-tengah Bandar Raya Ipoh secara tidak langsung dapat memperlihatkan kelebihan dan keistimewaannya berbanding dengan kampung-kampung lain yang terdapat di Negeri Perak.

Walau bagaimanapun kelebihan dan keistimewaan yang terdapat dalam Kampung Kepayang tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sebaliknya ia dimanipulasikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang akhirnya mengakibatkan semakin hari semakin terhakis keluasan tanah Kampung Kepayang. Semakin hari Kampung Kepayang dirobek dan dihakis oleh golongan kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan tanpa memikirkan nilai warisan bangsa yang seharusnya dikekalkan.

Bukan sekadar tanahnya dihakis, malah sejarah Kampung Kepayang juga dicaca-merbakan sehingga menyebabkan anak-anak muda generasi baru terpinga-pinga dan tertanya-tanya sejarah dan asal-usulnya. Ada yang keliru dan ada juga yang langsung tidak tahu. Malah ada juga yang tidak bersedia untuk tahu dan tidak mahu tahu. Mungkinkah ini semua ini telah diatur oleh golongan tertentu agar ia menjadi sebegitu? Atau mungkin nilai-nilai keistimewaan Kampung Kepayang yang telah dirobek dan dihakis menyebabkan anak-anak muda tidak lagi berminat untuk tahu lantaran merasakan ia tidak bernilai dan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka?

Artikel ini pernah dipaparkan dalam FB Kepayang dan Continuallybebas

September 20, 2011

SIMBOLIK GENETIK POLITIK : MELAYU


Melayu.. Melayu.. Melayu
Sebut saja perkataan aku bangsa “Melayu”, tidak dapat tidak, persepsi masyarakat Malaysia tentang “racist” pasti akan terbayang! Salahkah aku menyebut aku bangsa “Melayu”? Salahkah aku mengaku jadi bangsa “Melayu”? atau aku perlu menyebut aku “Islam” tanpa menyebut bangsa “Melayu”, agar dapat lari diri dari imej “racist” tapi memperlihatkan imej keberagamaan? atau aku perlu mengaku aku bangsa “1Malaysia” untuk dilihat tidak “racist” dimata semua? atau perlukah aku mengaku aku bangsa “Malaysian Malaysia” untuk dilihat berjiwa Malaysia?

Melayu.. Melayu… Melayu...
Dulu hanya terdapat dua genetic utama “Melayu”, iaitu Melayu PAS dan Melayu UMNO yang saling bertelagah antara satu sama yang lain sejak dari awal Persekutuan Tanah Melayu sehinggalah Malaysia ke hari ini. Melayu PAS dipersepsikan sebagai genetic yang mengutamakan Islam dalam perjuangan, manakala Melayu UMNO dipersepsikan sebagai genetic yang memperjuangkan “Melayu” sehingga dilihat tidak mengutamakan Islam dalam perjuangan. Pertelagahan berzaman diantara kedua-dua genetic “Melayu” ini dilihat banyak merugikan “Melayu”.

Melayu.. Melayu.. Melayu..
Mungkin segelintir daripada mereka merasakan bahawa genetic “Melayu” sememangnya tidak bagus. atau mungkin ada diantaranya terlalu yakin dengan pendoktrinan penjajah yang menyatakan fitrah genetic “Melayu” sememangnya lemah. Barangkali inilah punca terwujudnya genetic-genetic “Melayu” sesat yang cuba menongkah arus untuk berubah secara genetic. Mereka berusaha membentuk genetic baru melalui kombinasi genetic-genetic asing “dengan harapan” hasilnya mampu membentuk genetic yang bersifat proaktif, progresif dan profesional.

Melayu.. Melayu.. Melayu..
Tidak lain dan tidak bukan, genetic-genetic “Melayu” sesat ini terpaksa berpadu dengan genetic-genetic asing yang kuat untuk membentuk genetic-genetic baru, agar menjadi hebat, dilihat hebat dan kelihatan hebat. Sekomuniti genetic “Melayu” sesat menyusup masuk ke dalam genetic-genetic “XYX” membentuk genetic Melayu DAP, dan sekomuniti lagi genetic “Melayu” sesat menarik genetic-genetic “XYX” masuk dalam geneticnya untuk membentuk Melayu PKR. Maka, akhirnya kini terwujudnya dua genetic baru “Melayu”, iaitu Melayu DAP dan Melayu PKR.

Melayu.. Melayu.. Melayu..
Kenapa boleh terwujudnya genetic-genetic baru “Melayu”? Adakah kerana genetic-genetic ini merasakan bahawa genetic sedia ada telah gagal merobah corak pemikiran budaya “Melayu”? Atau mungkin pendekatan kedua-dua genetic sedia ada masih lagi mengekalkan budaya yang tidak memenuhi tuntutan zaman? Aku disini hanya sekadar meninggalkan persoalan! Mampukah genetic-genetic baru menjadi genetic-genetic yang lebih hebat dari genetic-genetic sedia ada? Atau kewujudan genetic-genetic baru hanya untuk membarahkan lagi keadaan sedia ada?

February 7, 2009

SURAU : SATU PENJENAMAAN SEMULA

Apabila berbicara tentang kejuruteraan pasti kita tak bisa memisahkan antaranya dengan penyelidikan dan pembangunan. Hasil penyelidikan dan pembangunan akan terhasillah konsep rekabentuk terbaru. Lantas apabila konsep ini direlasikan dengan realiti surau pada masakini, maka wujudnya satu keperluan untuk menjenamasemulakan surau berpaksikan konsep penyelidikan dan pembangunan agar memenuhi kehendak mahasiswa yang lazimnya menginginkan kelainan dalam penterjemahan aktiviti-aktiviti surau tanpa membatasi prinsip-prinsip Islam.

Imej surau seringkali dikaitkan melibatkan aktiviti spiritual semata-mata haruslah dinafikan dengan penjenamaansemula ini, sesuai dengan peredaran dan kehendak semasa. Selaras dengan itu, pengurusan surau dengan penuh rasa insaf telah merangka lima asas penjenamaansemula surau bagi memastikan mesej penjenamaansemula ini dapat diterjemahkan dalam lisan dan tindakan dengan lebih jelas. Antara lima asas tersebut ialah penstrukturan semula organisasi dengan mewujudkan jawatan-jawatan yang lebih spesifik, mewujudkan pelan strategik surau untuk dijadikan agenda utama organisasi, menampilkan muka-muka baru dalam organisasi yang mewakili pelbagai latarbelakang, membahagikan tanggungjawab berdasarkan kesesuaian dan kepakaran individu agar bisa menterjemahkan hasil kerja terbaik dan memperkenalkan disamping memperkasakan semula aktiviti-aktiviti surau secara lebih sistematik.

Aktiviti kemahasiswaan sewajarnya menjadikan surau sebagai pusat sehentinya. Sebagai contoh diskusi akademik, diskusi ilmiah, aktiviti keusahawanan, permainan yang bersesuaian, kempen-kempen dan sebagainya boleh memanfaatkan surau selagi tidak bercanggah dengan syarak. Insya Allah berdasarkan lima asas tersebut pengurusan surau menyeru seluruh mahasiswa atau mahupun bukan mahasiswa dapat membantu dan bersama-sama pengurusan surau dalam menjayakan misi dan visi ini dengan secara bersama menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memusatkan surau sebagai pusat sehenti utama.

Pendekatan mesra mahasiswa juga akan cuba diterapkan dengan menonjolkan imej surau untuk semua selaras dengan tema surau. Pengurusan akan terus menerima teguran, kritikan dan pandangan daripada semua pihak disamping mengalu-alukan kerjasama dan bantuan idea, tenaga juga kewangan dalam menterjemahkan segala gagasan suci ini semata-mata kerana Allah.

Segala abstraksi dan teori ini hanya akan terus kekal sebagai konsep semata-mata tanpa pasukan perlaksanaan yang mantap disamping tanpa mendapat dokongan dan sokongan daripada mahasiswa-mahasiswa, individu-individu dan organisasi-organisasi berkaitan dan juga pengurusan universiti. Oleh yang demikian saya menyeru pada semua agar kita sama-sama berganding bahu dalam menjayakan misi dan visi surau tanpa mengharapkan pujian, penghargaan dan balasan melainkan keredhaan Allah.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Majalah Permata dan Laman Surau UTHM

June 13, 2008

16 SEPTEMBER 2008 - HARI MALAYSIA, HARI MALAYSIA BARU ATAU HARI LEE KUAN YEW?

Saya pernah ulaskan beberapa isu berkenaan sejarah pembentukan Malaysia yang bersamaan 16 September 1963 dalam artikel saya yang terdahulu. Kebetulan tarikh ini dipilih oleh Pakatan Rakyat sebagai simbolika meraikan pembentukan Malaysia Baru dimana tarikh ini dikhabarkan akan berlakunya lompatan ahli parlimen Barisan Nasional secara besar-besaran Pakatan Rakyat. Sejauh mana kebenarannya tidaklah saya bisa mempersoalkan, malah tidaklah berminat untuk mengulas isu ini.

Cuma disini terdetik untuk menyinggung persoalan berkenaan tarikh yang dipilih oleh Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Dato Seri Anwar Ibrahim untuk pembentukan Malaysia Baru Era Pakatan Rakyat. Mungkin ramai yang tidak sedar berkenaan disebalik tarikh yang dipilih oleh DS Anwar Ibrahim tersebut. Walaupun ia sebenarnya merujuk kepada sejarah penggabungan Singapura, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ia juga merupakan tarikh lahir kepada pemimpin agung Singapura, Lim Kuan Yew (16 September 1923).

Apakah mungkin secara tidak langsung pemilihan tarikh ini akan memberi pengiktirafan terhadap kejayaan pemimpin Singapura, Lim Kuan Yew terutamanya terhadap kejayaan mereka menguasai kedaulatan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh dan Iskandar Malaysia yang bakal menyusul? Wajarkah tarikh ini dikekalkan sebagai Hari Malaysia? Apakah Hari Malaysia ini adalah simbolika penghormatan Malaysia terhadap Lee Kuan Yew? Sama-sama la kita fikirkan. Mungkin akan ada yang bisa menafsirkan Hari Malaysia sebagai Hari Lee Kuan Yew seolah-olah Lee Kuan Yew merupakan pemimpin utama Malaysia.

February 2, 2008

SATU LAMBANG BARISAN ALTERNATIF

Isu ini acapkali dibangkitkan dikalangan pendokong-pendokong Barisan Alternatif (BA) setiapkali pilihanraya mengunjung tiba. Sengaja ingin saya menyinggung cadangan ini kerana bagi saya ia telahpun diperhalusi oleh seluruh pimpinan BA tentang kebaikannya. Disini tidaklah ingin saya menjelaskan tentang kebaikan mahupun keburukan penggunaan satu lambang bagi BA dalam pilihanraya akan datang kerana telahpun diulas oleh pimpinan BA, yang telah jelas menerima idea ini sehinggakan usul ini telahpun dipersetujui oleh Majlis Presiden BA satu ketika dahulu dan seterusnya dibawa ke Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Memang kita sedia maklum bahawa cadangan tersebut terpaksa dibakulsampahkan dek kerna peraturan SPR yang menetapkan tujuh buah parti dalam sesuatu gabungan (yang merujuk kepada BA). Kita sedia maklum bahawa terdapat hanya dua parti komponen barisan alternatif iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS). Ini bermakna kita kekurangan lima buah parti dalam usaha membentuk pakatan rasmi yang diiktiraf oleh SPR dan seterusnya melayakkan penggunaan satu lambang bagi seluruh parti dalam BA.

Sebagai penyelesaian terhadap masalah ini saya mencadangkan dua formula yang bisa diaplikasi dalam menterjemahkan usaha "menyatulambangkan" BA dalam pilihanraya akan datang bagi mengelakkan kekeliruan, pembaziran tenaga, kewangan dan jentera terutamanya melibatkan urusan publisiti juga perang poster.

Formula yang pertama ialah BA yang kini terdiri daripada PKR dan PAS perlu memujuk Parti Tindakan Demokratik (DAP), untuk kembali bersama BA, sememangnya usaha ini amat sukar walaubagaimanapun saya percaya seandainya Dato' Seri Hadi Awang dapat menggunakan budibicara sepertimana yang dilakukan oleh mantan Presiden PAS, Allahyarham Dato' Fadhil Noor tidak mustahil DAP akan kembali berpayung dibawah BA.

Seandainya masih gagal, pakatan BA sewajarnya memujuk Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang baru dihidupkan semula, Parti Demokratik Malaysia (MDP) disamping dua buah parti pembangkang Borneo iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan beberapa parti yang mungkin saya terlepas pandang tentang kewujudannya antaranya Parti Demokratik Setiasehati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (SETIA) untuk bersama-sama menyertai BA. Dengan ini secara tidak langsung bisa menjumlahkan sekurang-kurangnya tujuh parti dalam komponen BA dan seterusnya melayakkan penubuhan BA secara rasmi dan diiktiraf oleh SPR untuk bertanding dalam satu lambang dalam pilihanraya 2008 yang akan datang.

Formula yang kedua, BA yang kini hanya terdiri daripada PAS dan PKR, mungkin perlu bertolakansur dimana hanya satu lambang daripada dua parti ini sahaja akan digunakan untuk mewakili BA dalam pilihanraya akan datang atau dengan kata lain, salahsatu parti perlu berkorban lambang untuk sementara waktu semata-mata dalam pilihanraya akan datang. Berikutan sifat PKR yang agak "Malaysia". Saya mencadangkan lambang PKR digunakan untuk mewakili BA. Ini bermakna semua calon BA sama ada daripada PAS, PKR mahupun proksi-proksi BA yang gagal mendapat kelulusan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) perlu menggunakan lambang PKR dalam pilihanraya akan datang bagi membuktikan kesatuan dan perpaduan dalam BA itu sendiri.

Kedua-dua formula ini adalah amat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan, walaubagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil dengan syarat kesemua parti-parti pembangkang atau parti komponen BA perlu mengorbankan keegoaan dan prinsip asas masing-masing dan meletakkan matlamat kemenangan dalam pilihanraya akan datang sebagai keutamaan dalam usaha membentuk Malaysia yang Baru sepertimana yang didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Penggunaan satu lambang ini amat penting dan bisa memperlihatkan perpaduan dikalangan komponen BA dan seterusnya melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Alternatif yang bakal dibentuk oleh BA kelak.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Tranungkite Online dan Marhaen

January 14, 2008

YANG TERBAIK DALAM UMNO?

Sengaja ingin saya menyinggung persoalan yang dibangkitkan oleh Saudara Anuar dalam isu terbaru dalam laman Umno-Reform. Terdahulu bersama tajuk panasnya yang terburuk dalam senarai umno-reform, kini timbul isu baru yang bertajuk dah la. Kedua-dua tajuk ini sememangnya berbeza tetapi pengisian dan matlamatnya hampir sama iaitu mahukan pimpinan baru yang bisa merobah persepsi masyarakat terhadap perjuangan UMNO yang sehingga kini masih kurang meyakinkan disamping merobahsemula perjuangan UMNO agar selari dengan kehendak rakyat khususnya bangsa Melayu. Walaubagaimanapun apalah ertinya isu ini dibangkitkan tanpa ada isu yang kontradiksi dengannya.

Saya telah mencadangkan kepada Saudara Anuar agar menimbulkan isu yang terbaik dalam UMNO. Saya yakin pendekatan ini adalah lebih berhikmah jika dibandingkan dengan pendekatan memaparkan yang terburuk dalam UMNO. Setidak-tidaknya, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain akan terus dan lebih bermotivasi untuk menggolongkan diri dikalangan yang terbaik. Secara langsung mahupun tidak langsung, ia akan memberikan keuntungan kepada rakyat yang mendambakan kepedulian daripada pemimpin yang mewakili mereka. Ia juga tidak terkecuali bisa membantu pimpinan UMNO terutamanya YAB Dato Seri Abdullah dalam usaha memilih calon-calon yang terbaik untuk UMNO dalam pilihanraya akan datang dan bisa membantu beliau untuk membentuk barisan kabinet yang mantap, bersih dan berwajah rakyat.

Izinkan saya untuk membuat pencalonan pertama untuk terbaik dalam UMNO. Calon yang kedua dan seterusnya saya serahkan kepada Saudara Anuar dan teman-teman yang lain untuk sama-sama tentukan secara rasional. Calon yang saya maksudkan ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Dato Shahrir Samad. Siapakah yang terbaik dalam UMNO pilihan anda? Sama-sama kita nilai untuk kebaikan semua terutamanya Melayu kerana UMNO adalah jelas milik bangsa Melayu. Mungkin telah tiba masanya untuk kita Memiliksemulakan UMNO untuk seluruh bangsa Melayu bukannya seperti kini UMNO hanya dimiliki oleh golongan tertentu, untuk perjuangan tertentu, untuk kepentingan tertentu yang jelas ianya telah bercanggah dengan peranan dan matlamat utama penubuhannya.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam UMNO-reform.com

November 21, 2007

TUKAR SEGERA IRAMA LAGU KEBANGSAAN

Serangan terhadap lagu Negaraku, secara bertubi-tubi yang dimulakan dengan isu penciplakan irama lagu Mamula moon, kemudian isu "campak ke laut" antara penyanyi Hattan dan Ahli Parlimen Sri Gading, YB Dato' Haji Muhamad b. Haji Aziz dan terbaru kemunculan Negarakuku karya Namewee. Semua ini menimbulkan kesedaran dalam benak fikiran saya sehingga menyebabkan saya merasakan telah tiba masanya irama lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditukar dengan menggantikan irama baru yang diinspirasikan oleh komposer tempatan. Sengaja saya memanaskan semula isu ini yang kelihatan mulai sejuk dan membeku rentetan pejuang-pejuang muzik tempatan yang kepenatan dalam usaha memperjuangkan isu ini berikutan rasa kecewa kerana tidak mendapat layanan dan perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.

Saya mencadangkan agar irama lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku diberinafas baru disamping mengekalkan lirik asalnya. Saya dengan penuh yakin dengan kebolehan komposer tempatan merasakan adalah wajar tanggungjawab pengilhaman semula irama Negaraku diserahkan sepenuhnya kepada komposer-komposer tempatan dibawah kawalselia kerajaan. Saya secara peribadi merasakan ia merupakan satu keperluan yang mendesak supaya isu penciplakan ini yang dipelopori oleh pihak tertentu dapat dihentikan dan dibakulsampahkan. Kerajaan sewajarnya melayani isu ini dengan sewajarnya kerana ia kelihatan amat relavan dengan keadaan semasa. Isu ini juga telah menyebabkan maruah Malaysia tercemar berikutan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu yang sememangnya ada kebenaran dan asasnya.

Imbas semula sejarah lagu Negaraku, diilhamkan berdasarkan inspirasi lagu Kebesaran Negeri Perak. Lagu ini pada asalnya merupakan rentak sebuah lagu yang telah dicipta oleh penggubah Perancis, Pierre Jean De Beranger (1780-1857). Lagu ini diperkenalkan oleh sebuah pancaragam Perancis yang mengadakan persembahan di Pulau Mahe yang terletak dalam Kepulauan Seychelles. Raja Muda Perak, Raja Abdullah Muhammad Shah ibni Sultan Jaafar Safiuddin Muazam Shah yang telah dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles, telah memperkenalkan lagu yang diberinama Trang Bulan. Sekembali semula ke Negeri Perak, Raja Muda Raja Abdullah telah menulis senikata lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan yang disusunkan dengan irama lagu Trang Bulan dan kemudiannya menjadikannya sebagai lagu rasmi Negeri Perak. Irama lagu ini kemudiannya telah dipilih sebagai irama lagu kebangsaan Malaysia. Berikut saya sertakan beberapa klip video yang merujuk kepada perbandingan lagu Negaraku dengan lagu-lagu yang diciplaknya iaitu Mamula Moon, Terang Bulan dan Trang Bulan.

Artikel ini pernah dipaparkan dalam Tranungkite Online dan Marhean

September 11, 2007

ULANGTAHUN MALAYSIA 44 VS KEMERDEKAAN MALAYA 50

Isu ini muncul setelah saya mula membaca blog teman saya Ainisazreen yang bertemakan Hari Lahir Malaysia ke 50 dan blog Nurul Izzah Anwar juga miliki tema yang hampir sama. Seterusnya teringat saya tentang petikan kenyataan Dr. Jeffry Kitingan baru-baru ini mengisytiharkan Kemerdekaan Sabah yang ke 44 yang menimbulkan beberapa polemik. Seterusnya terdetik dibenak hati saya untuk bertemu dengan teman saya yang merupakan pensyarah subjek kenegaraan disalahsebuah universiti tempatan, untuk membicarakan tentang isu ini dan beliau menegaskan bahawa sejarah ulangtahun Malaysia yang ke 50 memiliki fakta dan dalam ertikata yang bisa saya tafsirkan dengan agak keras ialah boleh didefinisikan sebagai penyelewangan fakta.

Andainya Malaysia mengisytiharkan ulangtahunnya 50, maka secara tidak langsung sejarah Malaysia telah berubah seolah-olah Tanah Melayu (Malaya) telah menjajah Sabah dan Sarawak. Sedangkan jika sejarah disingkapi dengan lebih telus, pembentukan Malaysia terjadi hasil persefahaman dan persetujuan bersama antara Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu dan seterusnya secara bersama membentuk negara baru yang dinamakan Malaysia.

Malaysia bukan penukaran nama daripada Malaya ataupun Tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara baru hasil gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Sebagai tanda keramat membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak bukan dijajah oleh Tanah Melayu, maka pemimpin-pemimpin tempatan Sabah terdahulu sebagai contoh Donald Stephens (Tun Fuad) dan Datu Mustapha Datu Harun telah membuat perjanjian dimana hak keistimewaan Sabah harus dikekalkan melalui 20-point agreement bersama pimpinan Tanah Melayu (Malaya) iaitu Tunku Abdul Rahman yang juga penerajui kewujudan Persekutuan Malaysia. Atas dasar ini jugalah maka Sabah menerima penubuhan negara baru Malaysia bersama Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak. Oleh itu, tindakan kita menyambut ulangtahun ke 50, Malaysia adalah satu tindakan yang agak kurang bijak disamping memperlihatkan kekurangan ilmu kita berkenaan sejarah pembentukan negara kita sendiri, Malaysia. Tindakan ini sungguh mengecewakan jika dibiarkan berterusan tanpa pembetulan.

Jika benar kita mengiktiraf sejarah penubuhan negara kita yang sebenar-benarnya. Mungkin ada kewajaran untuk kita sama menantikan detik 16 September 2007 untuk kita sama-sama meraikan Ulangtahun Kelahiran Malaysia ke 44. Atau mungkin kita akan terus menjadi hamba kepada kepincangan fakta ini dan terus meraikannya tanpa merasa bersalah kepada diri sendiri apatah lagi kepada Malaysia yang kita sayangi. Sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita memperbaiki kesilapan ini agar kepincangan ini tidak diwarisi dan kita terus menjadi hamba kepada kepincangan fakta ini untuk selama-lamanya.

Artikel ini pernah dipaparkan oleh Malaysia-Today.net dan Laman Marhean.

August 10, 2007

ADIHAMKA, WADAH DAN PERJUANGANNYA

Berikut adalah petikan respon yang diberikan oleh Timb. Ketua Penerangan AMK, Saudara Hidayat melalui blog beliau Dengan Izin.

Saudara Faizal,

Perdebatan kian hangat dek kerana sepatah ayat yang saya nukilkan : Malah kalau DSAI sendiri memilih untuk keluar daripada perjuangan ini kerana percaturan peribadi, maka beliau juga akan saya sanggah. Saya meminta sesiapa saja yang membaca agar tidak melarikan skop diskusi daripada pokok pangkal asal. Asal perbincangan ini bermula apabila saya mengeluarkan pendapat
apakah benar KeADILan tidak dipimpin matang, secara diktator dan kepimpinan lemah sebagaimana yang dilemparkan oleh Mantan Ketua AMK, Sdr Ezam. Ini perkara asas.


Pada hemat saya, ‘keluar daripada perjuangan’ tidak boleh dilihat dalam skop yang kecil, iaitu sekadar wadah semata-mata. “perjuangan” yang saya istilahkan lebih bersifat menyeluruh, persoalan merencanakan agenda. Dalam erti kata yang mudah, agenda dan wadah berada dalam ‘kapal’ yang sama, menuju destinasi yang satu. Tidak perlu timbul isu persoalan berbeda, samada perjuangan ataupun wadah perjuangan.


Apa guna kita berjuang, punyai agenda yang maha hebat, tetapi wadah yang dipilih terus silap, menyimpang daripada haluan menuju destinasi yang dituju? Dalam konteks keluarnya ahli-ahli KeADILan kononnya sudah tidak yakin dengan kepimpinan KeADILan dan mahu berjuang daripada luar parti politik, saya melihat di tahap mana kebijaksanaan yang ditaruhkan.


Apakah tahap kematangan rakyat Malaysia sudah berada di tahap yang begitu dasyat, sehingga boleh mengubah situasi hanya melalui jalanraya, tanpa perlu melalui proses pilihanraya? Saya tidak mengatakan bahawa ‘mass force’ (tekanan massa) tidak penting, tetapi saya melihat ‘mass force’ lebih berperanan sebagai melengkapi ‘political force’. Dalam iklim Malaysia, perubahan secara dominan perlu dimulakan melalui sistem politik.


Saya boleh bersetuju bahawa relevansi wadah tidak berkadaran dengan masa. Tetapi tidak sukar menilai keperluan sesuatu wadah untuk didukung mendepani perjuangan agar perjuangan sampai ke destinasi yang tepat. Pada saya, gagal memilih wadah yang betul, sama seperti menaiki kereta yang tidak ada stereng, enjinnya jahanam, tayarnya botak, untuk berkelana seluruh Semenanjung Malaysia. Saya yakin, kalau ini senario yang kita pilih, maka tawakal lah menghadapi risiko.


Pada saya, saya boleh menghormati sesiapa saja yang keluar parti, kalau mereka merasakan wadah ini tidak sesuai. Pak Abu (Saari Sungib) keluar KeADILan, Annuar Tahir keluar KeADILan, tetapi mereka tidak mencemuh parti bahawa parti ini tidak ada masa depan, dipimpin diktator dan sebagainya. Hatta Rahman Othman pun, dia keluar dengan hormat, hanya menyatakan ‘yang penting kita masih berada di dalam barisan pembangkang’, meskipun satu ketika dahulu tatkala meletakkan jawatan Bendahari Agung beliau turut mengecam parti.


Dr Muhamad Nur Manuty, dahulunya calon Timbalan Presiden KeADILan (2001), tetapi apabila beliau tewas, ya, beliau memilih tidak aktif di dalam KeADILan lagi, dan terus berpencak di pentas NGO. Tetapi adakah beliau melakukan perkara yang seumpama yang berlaku kini? Di saat ada bukti bahawa wujud usaha terancang mempengaruhi orang untuk keluar parti, kononnya ini bukan masa sesuai untuk berpolitik, akan nobatkan Anwar untuk jadi PM tahun 2012, fakta ini terus tinggal usang tidak berjawab.


Ya, Anwar akan saya sanggah, kalau ‘tuning’ perjuangan ini lari dari apa yang beliau perjuangkan sedari dulu. Dan kalau beliau memilih Umno pun, saya tetap sanggah meskipun saudara mungkin berpendapat bahawa Umno punya ruang untuk berubah. Kerana saya berpegang pada kata-kata Anwar sendiri, “Umno ibarat kereta yang rosak parah, justeru membaikinya sama dengan menukar kereta baru.”


Tuntasnya, tidak ada masalah menukar wadah, tetapi biarlah wadah itu berkesan, dan paling penting tidak rosak. Apa guna berjuang melaung kalimah semangat, tetapi salah memilih wadah, akhir nanti kekal sesat mencari destinasi. Menukar wadah juga bukan satu pengkhianatan, tetapi sesiapa saja boleh menilai samada wujud unsur pengkhianatan atau tidak, kalau memilih untuk menukar wadah, kemudian memalitkan kekotoran pada wadah yang ditinggalkan. Pastinya itu tidak bijak.


Yang membezakan manusia sesama manusia, pada perkiraan saya ada dua, iman dan prinsip. Maka apabila seseorang itu teguh prinsipnya, penghormatan saya berhak beliau peroleh. Tetapi kalau perilaku bercanggah dengan prinsip, jangan ditanya kenapa mereka dicemuh. Pada saya, yang keluar, biar lah keluar. Kalau dulu pernah dipopularkan kalimat, “Seorang Anwar dan Ezam di dalam, seribu Anwar dan Ezam akan muncul di luar.” InsyaAllah doakan saja pada Allah Maha Esa segala-galanya berjalan sebagaimana aturanNya. Jazakallah Bi Khair..

August 4, 2007

PERJUANGAN WADAH vs WADAH?

Kira-kira 2 minggu aku dan teman-teman menghabiskan masa memikirkan idea-idea fresh dan dalam tempoh tersebut juga kami merealitikannya dalam bentuk gerak kerja dan aktiviti-aktiviti. Semuanya membutuhkan masa, tenaga dan kewangan yang bukan alang-kepalang. Atas kerjasama, tolak ansur, semangat berpasukan yang diikat melalui ikatan persaudaraan Islam. Semua kesulitan telah bisa dirungkaikan secara penuh hikmah dengan petunjuk Allah SWT. Alhamdulillah, syukur kepadaNya. Segala-galanya telah dipermudahkanNya.

Dalam tempoh tersebut terdetik dihati tentang peripentingnya WADAH dalam merealitikan sesuatu agenda! Lalu jiwa aku memberontak, tercetus keinginan untuk mempersoalkan apakah yang lebih penting, di antara WADAH atau (misi) PERJUANGAN (yang digagaskan oleh) WADAH tersebut.

Kita miliki misi besar (perjuangan mewujudkan Agenda Malaysia Baru), andainya WADAH yang kita dokong kini sukar membawa kita ke arah mencapai misi besar tersebut dan dalam masa yang sama terdapat satu wadah yang lain, yang lebih diyakini juga memiliki potensi tinggi untuk merealisasikan agenda tersebut (Agenda Malaysia Baru). Apakah kita harus menyempitkan potensi diri dan mengorbankan peluang dan ruang pantas untuk menggapai misi PERJUANGAN WADAH, lantas terus kekalkan diri dalam kepompong komuniti kita, lalu berkokok, mengokok dan terus berkokok.

Setelah mengenangkan ia tidak mengesankan, apakah menjadi ia menjadi satu pengkhianatan atau satu kesalahan apabila kita menukarkan tuning WADAH, dan dalam masa yang sama agenda untuk meneruskan misi besar tersebut tidak dipadam malah terus dibakar cuma WADAH yang lebih diyakini dipilih berteraskan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap perjuangan menggapai misi PERJUANGAN WADAH tersebut?

Lalu, tercetus persoalan, lalu aku lemparkan kepada Timbalan Ketua Penerangan AMK, Hidayat Saifudin bagi merespon persoalan dan keinginan beliau untuk "menyanggah DS Anwar Ibrahim"! Bukan bertujuan untuk menguji kewibawaan beliau, tapi jiwaku meronta-ronta berkeinginan mengetahui jawapan menurut persepsi beliau. Apakah aku akan temui jawapan yang sama sepertimana jawapan yang tersedia dalam jiwa aku? Hanya beliau sahaja bisa merungkaikan. Berikut aku petikan semula untaian persoalan yang telah ku lemparkan kepada beliau, moga beliau tidak berat hati merespon persoalan ini, kerana aku sendiri masih kabur untuk menjawab andai aku sendiri berada diposisi beliau.

"Saudara Hidayat Saifudin,

Terima kasih atas respon saudara dalam nukilan komen dalam blog saya. Sekadar mewujudkan satu diskusi berbicara persoalan antara "WADAH dan "PERJUANGAN WADAH". Sejujurnya persoalan ini amat berkaitrapat dengan tindakan Bekas Ketua Pemuda KEADILAN, Ezam Mohd Nor dan teman-temannya.
Saudara menyatakan bahawa saudara akan menyanggah DSAI, seandainya beliau keluar dari perjuangan (WADAH KEADILAN) ini? Apakah dengan penyertaan beliau dalam UMNO membisakan saudara menyatakan bahawa beliau mengkhianati perjuangan ini? Sedangkan saudara sendiri tahu bahawa UMNO adalah WADAH terbaik dalam menjana dan merealisasikan misi perjuangan (PERJUANGAN WADAH) ini, iaitu AGENDA MALAYSIA BARU.

Apakah saudara hanya memperjuangankan WADAH? atau saudara memperjuangankan PERJUANGAN WADAH tersebut, iaitu merealisasikan AGENDA MALAYSIA BARU? Kenyataan saudara memperlihatkan saudara hanya memperjuangankan WADAH, bukannya (misi) PERJUANGAN WADAH. Kerana WADAH bukanlah sesuatu yang relavansi berkadaran pada setiap masa. Dulu UMNO adalah WADAH terbaik, kini mungkin KEADILAN yang terbaik, tetapi belum pasti ia akan terus menjadi terbaik dan tidak mustahil UMNO akan kembali menjadi yang terbaik semula dan seterusnya melayakkan kita menjadikan ia WADAH. Apakah saudara akan mengekalkan diri saudara dalam WADAH ini dan terus mempertahankan WADAH ini atau saudara akan meninggalkannya lalu menyertai pasukan Lokman Adam, Ruslan Kassim ataupun Ezam Mohd Noor mungkin Zukri Aksah?

Saya sekadar memfilontropiakan idea, UMNO Dulu-dulu, Dahulu dan Mungkinkah Akan Datang?" (...kini ditiadakan)

July 13, 2007

ANTARA "BABAD KEDUA SANDIWARA KEADILAN" ATAU TINDAKAN "PENDEKAR EZAM" YANG TIDAK MATANG?

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Saudara Hidayat Saifudin. Membicarakan isu penarikdirian Saudara Ezam Mohd Nor dari KEADILAN dan kematangan beliau dalam tindakan. Untuk diskusi lanjut sila layari blog adihamka. Penjelasan yang ringkas tetapi amat menarik untuk direnungi bersama.

Saudara Faizal

Ketidakmatangan yang saya maksudkan begini, dalam keadaan parti tidaklah sekuat mana, beliau terus menghentam. Pada saya tindakan ini pun tidak matang. Apatah lagi bahu beliau juga terpikul dengan pelbagai versi tuduhan yang tidak dijawab, yang nadanya hampir sama dengan apa yang dilempar Saudara Ezam. Evaluasi itu penting, muhasabah diri. kelemahan perlu ditampung dengan daya usaha, bukan tikam menikam.

Saya tidak melihat isu yg dibangkitkan Saudara Ezam ini tidak berasas, cuma pada hemat saya, berkelakuan begini disaat-saat genting sebegini memberi ruang seluas-luasnya untuk menjahanamkan gerakan secara sistematik.

Saya difahamkan daripada beberapa sumber, penarikan diri yang dibuat banyak dipengaruhi oleh Saudara Ezam sendiri, daripada penarikan diri AMK sehinggalah dalam mesyuarat bahagian shah alam yang lepas dan Saudara Ezam perlu tampil menjelaskan keadaan agar pendukung perjuangan tidak berterusan prejudis ke atas beliau.

Ulasan saya :

Terima kasih atas penjelasan yang diberikan. Mungkin kita sama-sama lebih bersetuju dengan pendekatan Saudara Saifuddin Nasution dan Saudara Anuar Tahir, yang keluar dari KEADILAN dengan senyap-senyap, lalu masuk PAS tanpa sebarang pengisytiharan. Kini Saudara Anuar Tahir menjadi AJK PAS Pusat manakala Saudara Saifuddin Nasution (Pengurus Yayasan milik PAS) dan baru-baru ini beliau dilamar semula oleh DSAI dan dilantik menjadi Pengarah Strategi KEADILAN.

Saya percaya kita berdua sendiri masih tertanya-tanya apakah yang sebenarnya yang berlaku! Sekarang kita cuma mampu tunggu dan lihat, siapa sebenarnya bersandiwara. Antara DS Anwar, Saudara Azmin Ali atau Saudara Ezam!

Saya percaya pejuangan-pejuang seperti Dr. Badrol Amin, Tian Chua, Sivarasa Rasiah, N.Gobalakrishnan, Mustafa Kamil Ayub dan beberapa pimpinan tertinggi KEADILAN masih memiliki keikhlasan dan kejujuran yang tinggi dalam perjuangan.

Saya cuma agak kurang yakin dengan DS Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini berikutan tindakan beliau yang hanya menyerang peribadi TPM dan amat jarang menyerang PM dan Naib Ketua Pemuda UMNO, seolah-olah memiliki suatu agenda tersirat atau mungkin ada formulasi sulit tertentu yang bisa membinasakan perjuangan KEADILAN atau mungkin juga ia satu formulasi sulit yang bisa memperkasakan perjuangan KEADILAN? Apakah muslihat disebalik semua ini? Saya percaya saudara dan teman-teman yang lain pasti hanya mampu membisu tanpa sebarang jawapan, kerana jawapannya hanya ada pada DS Anwar, Saudara Azmin dan Saudara Ezam sahaja. Persoalannya kini, wajarkah kita hanya tunggu dan lihat?

July 6, 2007

CADANGAN LOGO SATRIA PAS?

Salahseorang daripada pembaca blog ini, byxura secara sukarela telah merekabentuk logo cadangan bagi SATRIA sepertimana yang terpapar disebelah. Bagi saya hasil logo yang dikirimkan saya adalah suatu hasil kerja yang amat kreatif. Mohon agar cadangan ini dipertimbangkan oleh pihak Dewan Pemuda PAS Pusat khususnya pengurusan UNIT AMAL. Mungkinkah logo dan idea ini akan diterima? Mungkinkah ia akan ditolak? Kita tunggu saat kemunculan UNIT AMAL versi baru! Walauapapun nama atau logonya, yang pasti kewujudannya atau kemunculan jenama barunya pasti bisa memberi impak yang besar kepada negara terutamanya golongan remaja lelaki amnya. Terima kasih kepada harakahdaily, laman marhaen dan laman web Pemuda PAS Pusat atas kesudian memetik artikel ini, berkenaan isu Penjenamaan Semula Unit Amal PAS. Semoga keprihatinan mereka memaparkan isu ini akan dapat mengilhamkan idea kepada pengurusan UNIT AMAL dalam usaha menjana perubahan dengan lebih pantas dan mengesankan bagi memperkasakan lagi UNIT AMAL ini. Semoga dipermudahkanNya.